Sejak kebelakangan ini, sering juga kita dengar cerita-cerita tentang pengguna basikal yang menunggang secara berbahaya di jalan raya. Boleh kata hampir setiap minggu, pasti ada video rakaman berkaitan pengguna basikal yang akan tular di media sosial.
Baru-baru ini, tular di laman Facebook berkenaan seorang pengguna basikal nyaris dilanggar kereta akibat menukar lorong laluan di jalan raya.
Video berdurasi seminit itu dikongsi melalui rakaman dashcam oleh pengguna bernama Galvin Achai. Menurut sumber, kejadian itu berlaku pada awal pagi ketika lelaki ini sedang menghantar dua orang anaknya ke sekolah di sekitar kawasan Bintawa, Kuching.
Basikal tersebut dilihat datang dari arah kanan jalan sebelum tiba-tiba cuba menukar arah ke belah kiri ketika kereta tersebut sudah cuba untuk mengelak. Hal ini mengakibatkan kereta tersebut terpaksa menekan brek kecemasan untuk elak dari melanggar pemuda berbasikal itu.
Pemuda berbasikal itu bernasib baik kerana pemilik kereta tersebut peka dengan situasi walaupun keadaan di sekitar agak gelap dan basikal itu tidak mempunyai lampu.
Seharusnya, pengguna basikal harus lebih berhati-hati melalui jalan raya kerana mereka merupakan golongan yang lebih terdedah dengan kecederaan jika berlaku sebarang kemalangan.
Rata-rata pengguna di laman Facebook mengecam tindakan lelaki berbasikal yang bersikap semberono itu. Ada juga yang memuji tindakan penuh peka dari pemuda tersebut yang berjaya menekan brek tanpa mengakibatkan kemalangan.
Nak berbasikal tu tak salah, tapi kita perlulah jaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain juga.
BACA: “Ada 9 nyawa ke?” – [VIDEO] Penunggang Basikal ‘Cucuk Angin’ Belakang Lori Buat Warganet Tepuk Dahi