Sepanjang sambutan Aidiladha, kebanyakan rakyat Malaysia tidak akan melepaskan peluang untuk menunaikan ibadah korban.
Ibadah ini bukan sahaja menjadi lambang pengorbanan dan keikhlasan, malah dapat juga mempererat hubungan sesama manusia. Namun, dalam keterujaan menjalankan ibadah korban, timbul pula beberapa isu yang wajar diberi perhatian serius.
Baru-baru ini, tular beberapa video di media sosial seperti TikTok dan Instagram yang memaparkan segelintir individu mencuci perut lembu korban di sungai.
Ada yang beranggapan amalan ini sudah biasa dilakukan sejak dahulu lagi, tetapi hakikatnya ia tidak seharusnya diteruskan pada zaman sekarang.
Menurut Public Health Malaysia, ibadah korban sepatutnya menjadi ruang untuk berbuat baik, bukan sahaja kepada manusia, tetapi juga kepada alam sekitar.
Malangnya, tindakan membasuh najis dan organ dalaman haiwan terus ke dalam sungai masih berlaku setiap kali tibanya musim korban.
“Perkara ini bukanlah remeh. Sungai itu hidup. Ia bukan tong sampah. Setiap titis air yang mengalir membawa kesan kepada ekosistem dan kesihatan kita.
“Air sungai yang tercemar berpotensi kembali kepada manusia sama ada melalui air minuman, makanan, atau aktiviti seharian,” katanya.
Artikel berkaitan: Lembu Korban Terjun Laut, Dipercayai Hanyut
Artikel berkaitan: Patah Tulang Rusuk, Warga Emas Cedera Ditanduk Lembu Korban
Menurut PHM, perut dan usus haiwan korban tidak sepatutnya dicuci di sungai kerana ia boleh mencemarkan sumber air.
Malah, aktiviti pelupusan sisa pula perlu dilakukan pada jarak sekurang-kurangnya 50 hingga 100 meter dari sungai, longkang atau mana-mana sumber air awam untuk mengelakkan pencemaran.
“Sebagai langkah pengurusan yang betul, lubang najis atau tong khas perlu disediakan, dan hendaklah ditutup atau dikambus selepas digunakan.
“Semua sisa haiwan seperti najis dan organ dalaman perlulah dikumpulkan dalam plastik hitam yang tebal sebelum dihantar ke tapak pelupusan yang telah ditetapkan,” katanya.
Jika mahu menanam sisa haiwan, ia mestilah dilakukan dalam lubang yang cukup dalam dan jauh dari kawasan rumah serta sungai.
Selain itu, PHM berkata, jangan biarkan sisa-sisa tersebut terbuka atau dibiarkan dimakan oleh haiwan liar seperti anjing atau biawak kerana ia boleh menimbulkan risiko kesihatan kepada manusia dan haiwan lain.
Sumber: Public Health Malaysia