Semalam, satu kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) mengakibatkan sebuah jejambat dalam pembinaan runtuh sehingga berlakunya satu kemalangan ngeri.
Kejadian tersebut telah maragut dua nyawa manakala tiga lagi mangsa yang menaiki van pekerja terselamat selepas terperangkap dalam runtuhan tersebut selama tiga jam lamanya.

Walau bagaimanapun, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata, pemandu treler yang melanggar jejambat berkenaan telah didapati positif methamphetamine selepas ujian saringan air kencing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Dang Wangi, lapor Harian Metro.
Menurut pihak polis, pemandu van kilang, Muhd Fairus Mohd Yusof, 47, mengalami patah tulang bahu sebelah kiri, bengkak pada paru-paru dan berlaku pendarahan dalaman.
Dua lagi penumpang van Zaitun Zainal, 54, cedera kaki sebelah kiri, manakala Zakiyyah Yakop, 51, cedera betis kiri.
“Mangsa yang meninggal dunia adalah Nurina Edwin Abdullah,47, dan Norhayati Abdullah,42,” katanya awal pagi ini.
Pemandu treler ditahan dan direman
Siasatan awal juga mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila treler tersebut yang melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) telah melanggar kerangka besi pada pembinaan di jejantas pejalan kaki.
Perkara ini telah menyebabkan rusuk keluli bersama dengan perancah besi terjatuh di kedua-dua laluan MRR2 sebelum menghempap van kilang yang bergerak dari laluan Ampang menghala ke Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS).
Semasa kejadian van itu dalam perjalanan ke tempat kerja di kilang Sensata Technologies, USJ 1.
“Pemandu treler itu ditahan dan akan direman mengikut sek 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Al fatihah buat mangsa yang terkorban dalam nahas ini.
Baca: Flyover Dalam Pembikinan Dekat Desa Tun Razak Runtuh Hempap Van Kilang