Pelakon dan pelawak kumpulan Senario, Hamdan, 54, menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat jam 12.40 tengah hari tadi di Johor Bahru selepas ditidurkan beberapa hari lalu.
Berita duka itu memberi kesan kepada anggota Senario yang terasa kehilangan atas pemergiaan sahabat mereka.
Kata Ilya Buang atau Pak Ya yang menangis dan terkejut dengan berita itu, arwah sempat berkata “kalau saya ditidurkan, jantung saya akan berhenti,” sebelum ditidurkan di ICU.
“Walaupun nadanya pada waktu itu sekadar melawak dan sambil tersenyum, tapi tak sangka memang betul apa yang dikatakannya itu.
“Apabila arwah ditidurkan dia sudah tidak boleh bernafas secara normal dan doktor perlu memberikan alat bantuan oksigen kepadanya.” katanya.
Artikel berkaitan: “Senario The Legend” – Lan Pet Pet Bagi ‘Hint’, Senario Akan Buat ‘Comeback’?
Menurut Pak Ya, dia dimaklumkan arwah ada penyakit kencing manis dan pernah masuk wad kerana ada masalah jantung membengkak.
Rakan kepada arwah ada memberitahunya bahawa arwah menghidap penyakit tapi meminta untuk dirahsiakan daripada pengetahuan orang lain.
“Kami anggota Senario memang tak tahu arwah menghidap penyakit apa sebab apabila dipanggil untuk membuat persembahan di Johor dia cakap okay saja. Tapi apabila ditahan wad isterinya beritahu dia mengadu sakit pinggang hingga menyukarkannya untuk duduk waktu itu,” katanya.
Bagi Azlee pula, Hamdan disifatkan sebagai seorang adik dan dia masih belum dapat menerima kenyataan bahawa Hamdan telah tiada.
Difahamkan jenazah arwah akan diuruskan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sebelum dibawa ke Ipoh, Perak.
Terdahulu, Hamdan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ditidurkan akibat jangkitan kuman dalam darah.
Sumber: Harian Metro, Gempak