Polis mengesahkan mayat yang ditemui di kawasan sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4, Pedas, hari ini, adalah milik seorang wanita yang dipercayai mempunyai kaitan dengan laporan orang hilang di Ampang, Selangor.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, mayat wanita berkenaan ditemukan di dalam sebuah beg yang ditanam di bahagian belakang rumah terbabit.
Artikel berkaitan: 2 Bulan Hilang, Remaja Perempuan Nur Qasehku Suhaimi Akhirnya Ditemui Selamat
Artikel berkaitan: “Sudah 11 tahun” – Pencarian Semula MH370 Bermula Akhir Disember Nanti, Ini Kronologi Misteri Kehilangan MH370
“Pada 15 Disember lalu, satu laporan polis berkaitan orang hilang membabitkan seorang wanita diterima Balai Polis Ampang. Susulan itu, maklumat lanjut diperoleh daripada satu laporan di Balai Polis Pedas, Rembau.
Bertindak atas maklumat itu, pihak polis pergi ke sebuah rumah di Jalan Pedas-Linggi di sini dan pemeriksaan di sekitar kawasan rumah mengesan unsur perlakuan jenayah di kawasan belakang rumah,” katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut telah membawa kepada penemuan sebuah beg yang mengandungi mayat wanita tersebut yang ditanam di belakang rumah berkenaan, sekali gus membawa kepada pembukaan kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan oleh Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Rembau.
“Prosedur bedah siasat akan dijalankan esok. Pihak polis kini sedang giat menjalankan siasatan dan mengesan individu yang disyaki terbabit dalam kes ini.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di talian 06-6852222,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid sebelum ini memaklumkan pihaknya menerima laporan kehilangan Suri Narudin, 53, yang dibuat oleh ibu saudaranya.
Dalam pada itu, kes kehilangan wanita berkenaan turut mendapat perhatian ramai apabila tular rakaman video penyanyi, Mac Ruhayu, yang memohon bantuan orang ramai untuk mengesan rakannya yang dilaporkan hilang dan gagal dihubungi.
Sumber: Harian Metro
