Sejak semalam, tular sebuah video di mana seekor buaya dilihat di sekitar Tasik Seksyen 7, Shah Alam.
Kehadiran reptilia dianggarkan sepanjang lebih satu meter tersebut disahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor semalam.
Artikel berkaitan: Seriau! Buaya ‘Merayap’ Dekat Kawasan Perumahan Sebelum Lari Masuk Longkang Rumah Orang
Artikel berkaitan: “Buaya hatchback” – Orang Ramai Geli Hati Tengok Gelagat Anak Buaya Tanpa Ekor
Menurut laporan Kosmo!, Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Azhar Sharif berkata, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA dan Perhilitan Selangor telah sekali lagi memantau kawasan tasik dan mendapati buaya tersebut masih ada.
“Berkemungkinan buaya tersebut sesat semasa hujan lebat dan banjir kilat baru-baru ini.
Kita telah memasang pita keselamatan di sekitar tebing tasik. Jadi, sebelum arahan penutupan rasmi diumumkan MBSA adalah dinasihatkan orang ramai menjauhi tebing tasik,” katanya.
Difahamkan, pihak Perhilitan telah pun mengambil tindakan dengan memasang umpan bagi menarik perhatian Sang Bedal itu.
“Sebelum ini memang ada kes buaya sesat di sini. Arahan rasmi penutupan tasik tersebut akan dibuat oleh Datuk Bandar hari ini,” katanya lagi.
Sebagai info, seekor anak buaya tembaga sepanjang 0.6 meter pernah ditemui di pam air tasik tersebut pada tahun 2019.