Para peminat sukan pastinya cukup kenal dengan pasangan beregu wanita negara, Thinaah Muralitharan dan juga Pearly Tan. Pasangan beregu tersebut mula mendapat perhatian selepas memenangi pingat emas di Sukan Komanwel 2022 sebelum mencatat satu lagi sejarah sebagai beregu wanita pertama Malaysia yang memenangi emas di Kejohanan Terbuka Perancis.
Tidak dinafikan, kedua-duanya telah bertungkus lumus mengharumkan nama negara dan pencapaian tersebut turut diakui oleh pemain-pemain terkenal lain seperti Greysia Polli dan Jia Yifan.
Pun begitu, dalam satu sesi temubual oleh China Press baru-baru ini, ibu kepada Thinaah, Dr. Parimala Devi mendedahkan bahawa beliau dan suaminya memainkan peranan yang besar dalam kejayaan anaknya tersebut.
Menurutnya, Thinaah mula bermain badminton pada usia yang muda, sama seperti rakan-rakannya yang lain selain turut bermain dengan bapa, abang dan adiknya yang kini turut bermain untuk Selangor.
“Pada awalnya dia bermain secara suka-suka dan untuk berseronok” – Dr Parimala
Tambah ibunya lagi, pada awalnya Thinaah hanya bermain sukan tersebut secara suka-suka dan mula bermain secara serius dan kompetetif selepas memenangi kejohanan peringkat sekolahnya pada usia 8 tahun.
Thinaah kemudian memenangi banyak kejohanan dan mendominasi sukan tersebut pada peringat negeri dan negara.
Sebagai contoh, Thinaah memenangi kejohanan badminton MSSM ketika beliau berusia 12 tahun dan kemudiannya meneruskan peringkat sekolah menengah di Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Thinaah Berdepan Masalah
Dr Parimala turut mendedahkan bahawa Thinaah berdepan dengan masalah komunikasi bersama rakan sepasukan dan agak sukar untuknya bergaul dengan yang lain semasa sesi latihan dan ianya membuatkan Thinaah berasa kecewa kerana majoriti teman latihannya bertutur bahasa Mandarin yang langsung tidak difahami oleh Thinaah ketika itu.
Namun, ibu bapanya segera membantu untuk mengatasi masalah tersebut. Bapanya, S. Muralitharan mencadangkan agar dia belajar satu perkataan setiap hari.
“Tak kiralah satu perkataan atau satu karakter, sekiranya dia belajar setiap hari, dia akan mahir dan faham lebih banyak”
Perkara tersebut ternyata membuahkan hasil kerana Thinaah ketika ini sangat mahir menggunakan bahasa Mandarin selain boleh bertutur bahasa Inggeris, Tamil dan bahasa Melayu.
View this post on Instagram
Namun, masalah komunikasi tersebut bukanlah masalah utama yang dihadapi pemain berkenaan kerana pada awalnya, dia bermula sebagai pemain perseorangan dan agak bergelut dalam kategori berkenaan dan merasakan dirinya tak boleh ‘pergi jauh’.
Nampaknya, dengan bantuan, sokongan keluarga dan kerja keras, kejayaan yang dikecapi oleh Thinaah tersebut amat berpatutan.
Moga Thinaah terus memberikan yang terbaik untuk kejohanan yang akan datang!
Baca : Coach Indonesia Didakwa Panggil Pearly-Thinaah ‘Hitam Putih’, Netizen Tuntut Permohonan Maaf!