Banyak kemalangan yang boleh berlaku dalam sekelip mata, sebagai pengguna jalan raya kita perlu menjaga keselamatan dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.
Seorang wanita beserta tiga lagi kanak-kanak didapati cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta perisai milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malam tadi.
Kejadian itu berlaku berdekatan Taman Bayu Damai, Pengerang, Johor dan difahamkan kereta kebal ATM itu sedang berada dalam perjalanan balik ke kem Teluk Sepang sebelum berlanggar dengan Honda Odyssey yang dipandu wanita tersebut.
Menurut laporan Kosmo!, Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Deddy Borhan Umaali menyatakan, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian pada pukul 8.28 malam sebelum menghantar tujuh anggota dari BBP Punggai dan lapan anggota dari BBP Sungai Rengit serta dua jentera ke lokasi.
Dalam laporan yang sama, difahamkan kesemua mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Klinik Kesihatan Taman Bayu Damai untuk menerima rawatan lanjut.
Selain itu, dua anggota tentera yang berada dalam kereta perisai tersebut difahamkan berada dalam keadaan selamat.