Pelakon Aidil Aziz enggan memberi sebarang respon berhubung kontroversi melibatkan isterinya, Fasha Sandha, yang didakwa tampil tanpa bertudung dalam drama Doa Yang Terlindung menerusi slot Akasia TV3.
Aidil, 38, menyifatkan isu tersebut sebagai hal peribadi dan memilih untuk tidak mengambil peduli terhadap reaksi netizen di media sosial.
View on Threads
“Saya tiada sebarang komen, ‘no comment’ dan tidak boleh beri sebarang penjelasan, mohon maaf sangat-sangat.
Komen-komen netizen juga saya tidak baca dan tidak ambil tahu langsung. Saya anggap perkara ini begitu (privasi). Saya tahu drama itu viral dan rezeki Fasha naskhah tersebut meletup,” katanya.
Mengulas lanjut, Aidil menjelaskan setiap tawaran lakonan yang diterima oleh isterinya akan dibincangkan terlebih dahulu bersama.
“Saya dan Fasha memang sering berbincang setiap kali menerima tawaran lakonan sebab perkara paling kami tekankan adalah mesej dalam naskhah yang ingin disampaikan kepada penonton.
Sebagai pelakon, itu merupakan tanggungjawab kami untuk sampaikan mesej. Bukan main pilih sahaja kerana semakin kuat mesej, semakin berat tanggungjawab seorang pelakon.
Sebab itu saya setuju dia menerima tawaran untuk drama tersebut, kalau tidak setuju tidak mungkin dia akan buat,” jelasnya.
Sebelum ini, penampilan Fasha tanpa hijab dalam episod ke-19 drama Doa Yang Terlindung telah mencetuskan kecaman daripada sebahagian penonton.
Bagaimanapun, sehingga kini, Fasha tidak pernah mengesahkan secara terbuka sama ada dirinya telah berhijab sepenuhnya atau sebaliknya.
Sumber: Kosmo!
