Pada awal tahun ini, kehilangan seorang lelaki berusia 19 tahun yang gagal dihubungi selama lebih 1 bulan berakhir dengan berita sedih buat keluarganya. Penemuan mayat di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) merungkai misteri kehilangan anak bongsu daripada 5 beradik itu.
Ini kisah misteri kehilangan dan penemuan mayat Ahmad Farid Ahmad Alaudin yang sehingga kini masih menimbulkan tanda tanya.
13 Mac 2020 – Kali terakhir jumpa keluarga
Menurut perkongsian kakak Farid, Ain Alaudin di Facebook, kali terakhir keluarga melihat kelibatnya adalah pada 13 Mac 2020, kira-kira jam 8.30 malam.
Ketika itu, Farid meminta izin kedua ibu ayahnya untuk ke kampung rakan sekerja yang terletak di Tangkak, Johor. Farid juga ada meminta izin untuk balik ke kampung asal di Bachang, Melaka kerana ramai saudara-mara berada di sana.
Selepas diberi keizinan, Farid meninggalkan rumah menuju ke lokasi yang dikatakan. Dua hari kemudian, ibunya ada buat panggilan tetapi tidak dijawab oleh Farid namun menyangka anaknya itu berada di Bachang dan dalam keadaan baik-baik saja.
16 Mac 2020 – Rupanya tak jadi ke Tangkak
Selepas tiada khabar berita beberapa hari, ibu hubungi Ijam, sepupu Farid yang bekerja di tempat sama untuk bertanya tentang anaknya. Namun, kemudian rakan sekerja yang berasal dari Tangkak itu memaklumkan Farid tidak jadi pergi ke kampungnya.
Sebaliknya, dia telah pergi ke Ampang seorang diri pada 13 Mac 2020 untuk menyambut hari jadi rakan dan Farid dikatakan bergerak pulang ke Melaka semula pada kira-kira jam 3.30 pagi.
Namun, selepas beberapa hari Farid masih tidak dapat dihubungi serta gagal dikesan oleh ahli keluarga dan menjadi tanda tanya semua ahli keluarganya yang semakin risau.
16 Mac 2020 – Keluarga buat laporan polis
Menurut kakak Farid lagi, keluarga pergi membuat laporan polis pada petang 16 Mac 2020 di Balai Polis Durian Tunggal. Bukan itu saja, sejak berita kehilangan Farid tular keluarga menerima banyak mesej di Whatsapp memaklumkan dia kemalangan.
Disebakan itu, kakaknya turut ulang alik ke Hospital Ampang dan Hospital Seremban untuk membuat pengecaman mangsa-mangsa kemalangan tanpa identiti namun masih tidak menemukan adik mereka itu.
22 Mac 2020 – Laporan polis kedua dibuat
Selepas usaha mengesan arwah tidak juga berhasil dan tiada juga maklumat atau petunjuk daripada pihak polis, ayah saya membuat laporan polis kali kedua di balai sama pada 22 Mac.”
– kakak, Nur Syafiqa Ahmad Alaudin.
Menurut Syafiqa, keluarga turut mengedarkan gambar Farid di kawasan R&R dan mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat agar dapat petunjuk tentang kehilangan adiknya itu.
25 April 2020 – Misteri terungkai, penemuan mayat reput di Lebuhraya PLUS
Selepas hilang tanpa khabar dan tidak dapat dijejaki selama 42 hari, akhirnya misteri kehilangan Farid terungkai. Kira-kira jam 4 petang, anggota Balai Polis Durian Tunggal datang ke rumah keluarga dan memaklumkan tentang penemuan satu mayat lelaki di Kilometer 281.8 PLUS arah utara.
Mayat yang hanya tinggal rangka itu ditemui oleh orang awam pada jam 12 tengah hari dan selepas ahli keluarga hubungi Balai Polis Nilai, mayat itu disahkan sebagai Ahmad Farid berdasarkan kad pengenalan dan lesen memandu yang dijumpai bersamanya.
Menurut polis, ketika ditemui mayat itu dalam keadaan terlentang di dalam longkang selebar 0.6 meter dengan tahap kedalaman kira-kira 0.76 meter.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, mayat itu dilaporkan masih lengkap berpakai baju T dan seluar panjang warna hitam serta masih memakai topi keledar.
Pemeriksaan ke atas beg pinggang berwarna hitam yang ditemui pada satu bahagian beg galas, menjumpai satu kad pengenalan dan lesen memandu serta wang tunai lebih kurang RM150, dipercayai milik si mati.”
Keluarga kemudian tampil ke Hospital Tunku Jaafar bagi membuat pengecaman serta menuntut jenazah Farid bagi urusan pengebumian di Melaka.
Kematian yang masih menjadi misteri dan tanda tanya
Bagaimanapun, menurut pihak polis tiada unsur jenayah atau perbuatan khianat untuk dikaitkan dengan mangsa. Menurut keluarga, Farid seorang yang agak pendiam dan rakannya hanya dalam kalangan jiran serta saudara mara terdekat.
Dia tak ramai kawan. Dari sekolah rendah ke sekolah menengah sampai belajar pun tetap tak ramai kawan. Dia bukan seorang yang kaki lepak kaki rempit atau sosial. Bukan dia orangnya.”
Turut menjadi tanda tanya adalah keberadaan motosikal Farid yang tidak dijumpai di kawasan berdekatan mayatnya dijumpai. Disebabkan itu, kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tidak dapat dipastikan sama ada punca kematian adalah kemalangan atau tidak.
Kami tertanya-tanya mana motosikalnya ketika mayat arwah ditemui di lebuh raya.”
– bapa, Ahmad Alaudin.
Tiada kenderaan ditemui berhampiran dengan tempat kejadian yang boleh dikaitkan dengan si mati.”
– Polis
Turut menjadi tanda tanya sama ada di laluan Lebuhraya PLUS itu tidak ada CCTV yang merakamkan kejadian sebenar yang menimpa Farid atau jika ada pihak ketiga yang menunggang/mencuri motosikalnya.
Lobak Merah menzahirkan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Farid dan turut berharap misteri kematian arwah dapat dirungkai serta diselesaikan. Al Fatihah.
Baca: Tragedi M.V Pulau Kidjang : 47 Jasad Masih Misteri, Terkubur di Pulau Tanjung Jerijeh, Sarikei