Lebih kurang jam 5.30 pagi pada 24 Mac 1998, Ron Bradley telah melihat Amy Lynn Bradley sedang bersantai dengan tenang di luar balkoni kabin kapal persiaran Royal Carribean. Tapi, 30 minit kemudian, bila dia tengok lagi, anaknya ini hilang dan tak pernah ditemui sehingga sekarang.
Penjelasan paling mudah tentang kehilangan Amy Lynn Bradley ini adalah dia telah terjatuh dan ditelan ombak. Tapi, Amy merupakan seorang perenang yang handal serta lifeguard yang terlatih. Tak cukup dengan itu, kapal ni pun berada tak jauh dari pantai.
Kes kehilangan Amy ini lebih menyeramkan dari kes orang yang hilang di lautan. Ini kerana, sejak kehilangannya, ada beberapa orang mengatakan yang mereka telah melihat kelibatnya. Jom ketahui lebih lanjut tentang misteri kehilangan Amy Lynn Bradley yang tak pernah dapat diselesaikan.
Artikel berkaitan: Pramugara American Airlines Didakwa Rakam Remaja & Kanak-kanak Bawah Umur Dalam Tandas Kapal Terbang
Artikel berkaitan: Kes Penculikan Traumatik Denise Huskins Disebalik Dokumentari Terbaru Netflix, ‘American Nightmare’
Kehilangan misteri Amy Lynn Bradley ketika bercuti bersama keluarga
Keluarga Bradley, Ron dan Iva serta dua anak mereka yang telah pun dewasa, Amy dan Brad telah menaiki kapal Rhapsody Of The Seas pada 21 Mac 1998 di Puerto Rico. Perjalanan mereka ini akan membawa keluarga ini dari Puerto Rico ke Aruba sebelum ke Curacao di Netherlands Antilles.
Pada malam 23 Mac, malam sebelum Amy Lynn Bradley hilang, kapal ini telah berlabuh di pantai Curacao. Pada awalnya, malam tersebut kelihatan seperti biasa di mana Amy dan Brad telah berparti di dalam kelab kapal tersebut. Amy turut bercakap dengan beberapa ahli kumpulan pemuzik yang bermain di kelab tersebut dan menari dengan pemain bass, Yellow aka Alister Douglas.
Lebih kurang jam 1 pagi, adik beradik ini telah pulang ke kabin keluarganya dan itu merupakan kali terakhir Brad melihat Amy.
Perkara terakhir saya cakap dengan Amy adalah ‘I love you’ sebelum saya tidur.”
Beberapa jam kemudian, Ron Bradley telah melihat anak perempuannya ini sedang berehat di balkoni kabin dan semuanya kelihatan biasa. Tapi 30 minit selepas itu, Amy menghilangkan diri.
Ron kemudian telah pergi ke bilik Amy untuk melihat jika anaknya ini telah masuk tidur. Tapi dia tak ada di sana. Selain rokok dan pemetik api, Amy tak bawa barang-barang lain bersamanya. Termasuklah kasutnya.
Selepas mencari di tempat-tempat biasa dikunjungi di kapal tersebut, keluarga ini mula bimbang. Mereka telah meminta pekerja kapal untuk membatalkan program berlabuh di Curacao tapi permintaan tersebut tidak dilayan.
Pagi itu, kapal tersebut telah berlabuh dan kesemua penumpang dan pekerja dibenarkan untuk turun dari kapal. Jika Amy mahu meninggalkan kapal tersebut, ini adalah peluangnya untuk keluar senyap-senyap dan melarikan diri.
Tapi keluarga ini tak percaya yang Amy akan berbuat demikian kerana Amy kini mempunyai pekerjaan baru dan rumah baru di Virginia serta anjing kesayangannya, Daisy.
Lebih menakutkan, pelabuhan yang dibuat di Curacao ini juga turut memberikan peluang kepada penculik untuk membawa Amy keluar dari kapal.
Pencarian Amy Lynn Bradley yang tak membuahkan hasil
Ketika keluarga ini mencari Amy, kru-kru kapal tidak memberikan bantuan yang sepatutnya. Mereka tak mahu mengumumkan kehilangan Amy atau menggantung gambarnya di sekeliling kapal kerana risau penumpang lain rasa tak selamat. Tak cukup dengan itu, mereka juga tak mencari wanita ini di seluruh kapal dan hanya mencarinya di tempat-tempat yang ramai orang.
Walaupun ada kemungkinan Amy terjatuh dari kapal, tak ada siapa yang dapat mencari bukti Amy telah terjatuh atau ditolak dan tak ada tanda-tanda ada mayat dalam air.
Ekoran ini, keluarga ini mengesyaki bahawa kehilangan anak mereka ini ada kena mengena dengan kru kapal dan percaya salah seorang dari mereka tahu di mana Amy. Lebih-lebih lagi, dia masih ingat salah seorang pelayan kapal telah tanya nama Amy dan berkata yang mereka nak bawa Amy ke Restoran Carlos dan Charlie apabila kapal ini berlabuh di Aruba.
Lebih menyeramkan, Restoran Carlos dan Charlie merupakan tempat di mana seorang wanita berusia 18 tahun, Natalee Holloway dilihat kali terakhir sebelum hilang pada tahun 2005.
Keluarga Bradley juga turut mendengar khabar angin dari salah seorang saksi mengatakan yang dia telah melihat Amy pada jam 6 pagi bersama Yellow berdekatan kawasan kelab namun Yellow menafikan perkara ini.
Beberapa bulan selepas kehilangan Amy, keluarganya telah menulis surat kepada ahli kongres, pegawai asing dan White House namun tak membuahkan hasil. Mereka juga turut mengupah penyiasat peribadi dan membuat laman web mengenai kehilangan anak mereka tapi tetap tak ada jawapan.
Penampakan kelibat Amy Lynn Bradley buat kes ini jadi lebih misteri
Kebimbangan keluarga Bradley tentang kehilangan Amy ni bukanlah tidak berasas. Walaupun siasatan tak membuahkan hasil, beberapa orang di Carribean mendakwa yang mereka telah melihat Amy.
Pada Ogos 1998, lima bulan selepas Amy hilang, dua pelancong dari Kanada mengatakan yang mereka telah melihat seorang wanita yang padan dengan rupa Amy di pantai. Wanita tersebut mempunyai tatu yang sama dengan Amy iaitu tatu haiwan jenis Tasmanian Devil bersama bola keranjang di bahunya, matahari di belakang badan, simbol cina di buku lali serta cicak di pusatnya.
Malah, salah seorang pelancong tersebut, Davil Carmichael mengatakan yang dia 100 peratus pasti wanita yang dilihatnya itu adalah Amy Lynn Bradley.
Pada tahun 1999 pula, seorang tentera laut telah pergi ke sebuah rumah perlacuran di Curacao dan bertemu dengan seorang wanita yang mengatakan namanya Amy Lynn Bradley dan wanita itu merayu supaya lelaki ini menolongnya. Tapi lelaki ini tidak melaporkan perkara tersebut kerana bimbang akan mendapat masalah. Jadi, dia telah menyimpan maklumat ini sehinggalah dia terlihat wajah Amy di majalah People.
Tahun itu juga, keluarga ini telah menerima satu lagi klu yang kelihatan legit tapi rupanya scam. Seorang lelaki bernama Frank Jones yang mendakwa dirinya merupakan bekas tentera Amerika Syarikat mengatakan yang dia boleh selamatkan Amy dari orang yang telah menculiknya di Curaco. Ekoran ini, keluarga Bradley telah membayarnya wang sebanyak US$200,000 sebelum menyedari bahawa lelaki itu telah menipu mereka.
Penampakan Amy ini kerap dilaporkan. Enam tahun kemudian, seorang wanita mendakwa dia telah melihat Amy di sebuah tandas di mall yang terletak di Barbados. Menurut saksi tersebut, wanita itu telah mengenalkan dirinya sebagai Amy dari Virginia dan sedang bergaduh dengan dua atau tiga lelaki.
Kemudian, pada tahun 2005, Bradley telah menerima e-mel mengandungi gambar seorang wanita yang dilihat seperti Amy sedang baring di atas katil dengan hanya memakai baju dalam. Salah seorang ahli organisasi yang mencari mangsa perdagangan seks telah menemui gambar tersebut di laman web dewasa dan merasakan yang wanita dalam gambar tersebut mirip Amy.
Wanita di dalam gambar tersebut dikenali sebagai Jas, pekerja seks dari Caribbean. Malangnya klu ini tetap tak boleh membawa mereka untuk berjumpa dnegan Amy.
Hari ini, siasatan ke atas Amy Lynn Bradley masih diteruskan dan keluarga Bradley serta FBI telah menawarkan wang yang tinggi kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat tentang keberadaan wanita ini.
Adui kesiannya, kalau betul dia jadi mangsa perdagangan takkanlah tak boleh nak selamatkan?
Sumber: ati