Tahun 2025 menandakan sudah 68 tahun negara kita merdeka, sebuah perjalanan panjang dalam membina identiti negara berdaulat.
Antara lambang kemerdekaan yang paling menonjol ialah Parlimen Malaysia di mana di situlah undang-undang negara digubal dan dasar negara dibahaskan. Bangunan ikonik ini berdiri sebagai simbol demokrasi yang semakin berkembang seiring dengan usia negara.
Namun tahukah korang, asal usul pembentukan sistem parlimen ini sebenarnya bermula pada ribuan tahun lalu menerusi Tamadun Greek dan Rom, seterusnya berkembang menjadi sistem Westminster British yang mana akhirnya sistem ini digunakan di Malaysia sehingga sekarang.
Jom kita ikuti bagaimana evolusi panjang ini melahirkan institusi penting negara.
Asal usul Parlimen: Magna Carta dan Sistem Westminster
Magna Carta, atau The Great Charter, dimeterai pada 15 Jun 1215 di Runnymede, England. Ia mengandungi 63 klausa yang menetapkan hak serta tanggungjawab raja dan rakyat pada zaman feudal. Dokumen ini menjadi asas penting kepada konsep keadilan dan undang-undang moden.
Daripada asas inilah lahirnya sistem Westminster di England. Sistem ini menekankan pembahagian kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman, serta melibatkan dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk menggubal undang-undang. Model ini kemudiannya berkembang menjadi sistem pentadbiran rasmi kerajaan British.
Sistem Westminster merujuk kepada sistem Parlimen yang dinamakan sempena Istana Westminster iaitu lokasi kerajaan British bersidang sejak sekitar tahun 1295. Model ini kemudiannya menjadi asas kepada banyak sistem parlimen di seluruh dunia, hasil pengaruh penjajahan British dan proses kemerdekaan negara-negara naungannya.
Apabila British menjajah Tanah Melayu, prinsip ini dibawa masuk melalui Majlis Perundangan Negeri dan Persekutuan, sebelum menjadi asas kepada pembentukan Parlimen Malaysia selepas kemerdekaan.
Aspek yang diubah suai
Meskipun sistem Westminster menjadi asas kepada pembentukan Parlimen negara kita, tapi kita tidak ‘menyalin’ secara bulat-bulat serta melibatkan penyesuaian besar secara berperingkat mengikut identiti dan keperluan negara kita.
Antara contoh yang paling ketara adalah Malaysia merupakan negara berkonsep persekutuan iaitu wujud dengan menyatukan tiga belas kerajaan negeri, manakala kerajaan England pula hanya wujud sebagai sebuah negara yang tunggal.
Kerajaan di England tidak mempunyai perlembagaan bertulis meskipun sistem parlimennya dijadikan asas pembentukan parlimen di kebanyakan negara Komanwel, berbeza dengan Malaysia yang ada Perlembagaan Persekutuan secara bertulis menjelaskan tentang agama rasmi, bahasa kebangsaan, hak istimewa Melayu & Bumiputera dan kuasa negeri seperti Sabah dan Sarawak.
Artikel berkaitan: Bukan Biasa-biasa, Ini 6 Wanita Pertama Malaysia Cipta Sejarah Dalam Pelbagai Bidang – Lobak Merah
Artikel berkaitan: “Dari Merdeka hingga Malaysia Moden” – Ini 7 Ucapan Ikonik Pemimpin Yang Membentuk Negara Kita Hari Ini – Lobak Merah
Evolusi Parlimen Malaysia
Sistem Parlimen Malaysia bermula seawal tahun 1867 apabila Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat ditubuhkan di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Majlis ini menjadi platform pertama yang mengamalkan perbahasan seperti Parlimen moden, walaupun masih di bawah pentadbiran British.
Pada tahun 1909, Majlis Persekutuan pula diperkenalkan hasil persetujuan Pesuruhjaya Tinggi British dengan Raja-Raja Melayu Negeri-Negeri Bersekutu. Langkah ini menjadi asas pembentukan sistem kerajaan berpersekutuan dan memperkukuh kerangka pentadbiran Tanah Melayu.
Selepas era getir pemerintahan Jepun yang penuh cabaran, British cuba memperkenalkan Malayan Union. Namun ia ditentang hebat oleh orang Melayu sehingga membawa kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Melalui perjanjian ini, Majlis Penasihat digantikan dengan Majlis Perundangan Persekutuan sebagai badan utama penggubalan undang-undang.
Perkembangan penting berlaku pada 1955 apabila Pilihan Raya Umum pertama diadakan, memberi peluang kepada rakyat memilih wakil mereka. Ini diikuti dengan penggubalan Perlembagaan Persekutuan pada 1957 yang menetapkan asas Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Selepas negara merdeka, Parlimen rasmi ditubuhkan pada tahun 1959, lengkap dengan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ia menjadi pusat penggubalan undang-undang, perbahasan dasar, dan simbol kemerdekaan negara yang baru dicapai.
Pada tahun 1963, pembentukan Malaysia melibatkan Sabah, Sarawak dan Singapura, sekali gus memperluas keanggotaan Parlimen. Sistem ini terus berkembang dengan penambahan kerusi dan penambahbaikan pilihan raya, menjadikan institusi ini semakin maju sehingga kini.
Fungsi parlimen hari ini
Parlimen Malaysia hari ini berfungsi sebagai tempat utama untuk menggubal undang-undang negara. Proses ini bermula dengan Dewan Rakyat, di mana wakil rakyat yang dipilih oleh pengundi, akan membahaskan setiap cadangan rang undang-undang dengan teliti. Setelah lulus, rang undang-undang tersebut akan dibawa ke Dewan Negara untuk semakan.
Dewan Negara pula dianggotai oleh senator yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atau kerajaan negeri. Peranan mereka ini adalah untuk memastikan undang-undang yang digubal bukan sahaja adil, tetapi untuk memastikan kepentingan negara sebelum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Selain menggubal undang-undang, Parlimen juga bertanggungjawab mengawal kewangan negara. Setiap tahun, kerajaan perlu membentangkan Belanjawan Negara untuk diluluskan. Ahli Parlimen akan membahaskan bagaimana wang negara dibelanjakan, sama ada untuk pembangunan, pendidikan, kesihatan atau kebajikan negara.
Parlimen turut berfungsi untuk semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan. Wakil rakyat boleh mengajukan soalan kepada menteri, membahaskan dasar kerajaan dan membawa isu rakyat untuk dibincangkan secara terbuka.
Bangunan Parlimen
Bukan saja sistemnya berevolusi, bangunan parlimen juga ada kisah tersendiri yang ramai tidak tahu.
Persidangan Parlimen pertama Malaysia berlangsung pada 11 September 1959 di Dewan Tunku Abdul Rahman. Majlis bersejarah ini dirasmikan oleh Tuanku Abdul Rahman ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Agong pertama negara yang juga Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu.
Ketika itu, bangunan Parlimen yang kita kenal hari ini masih belum wujud. Persidangan diadakan di sebuah dewan yang asalnya kediaman ahli perniagaan Eu Tong Sen. Ruang ini diubah suai menjadi dewan persidangan tetapi turut digunakan untuk acara lain apabila Parlimen tidak bersidang.
Keadaan ini telah menimbulkan rasa kurang selesa bagi Tunku Abdul Rahman, lalu tercetuslah idea untuk membina bangunan khas sebagai Parlimen rasmi negara.
Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kerajaan mula menekankan pembangunan negara sebagai lambang kemajuan dan identiti baharu Malaysia. Tunku Abdul Rahman mahu sebuah bangunan Parlimen yang bukan sahaja moden dan progresif, tetapi juga tidak melambangkan mana-mana kaum secara khusus. Beliau melantik arkitek Jabatan Kerja Raya, Sir Ivor Shipley, untuk mereka bentuk bangunan tersebut.
Akhirnya, lokasi yang dipilih adalah berdekatan Taman Tasik Perdana, yang dahulunya dikenali sebagai West Folly Hill, kerana kedudukannya yang tinggi dan berbukit. Upacara pecah tanah diadakan pada 31 Ogos 1962, bertepatan dengan ulang tahun kelima kemerdekaan negara. Difahamkan juga kerja pembinaan dianggarkan mengambil masa setahun dengan kos sekitar RM18 juta.
Reka bentuk bangunan menampilkan ciri moden dengan dinding bercorak unik diperbuat daripada terrazzo. Selain itu, corak ini berfungsi untuk mengawal cahaya serta suhu dalaman bangunan. Menariknya, ilham coraknya diambil daripada kulit buah nenas sebagai simbol hasil utama negara pada ketika itu.
Bangunan Parlimen siap sepenuhnya pada tahun 1963 dan dirasmikan pada 2 November oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Putra Al-Haj, merupakan Yang di-Pertuan Agong ketiga pada ketika itu. Dua hari kemudian, kompleks ini turut menjadi tuan rumah kepada Persidangan Parlimen Komanwel ke-9.
Pada 16 September 1963, sempena pembentukan Persekutuan Malaysia, Parlimen bersidang buat pertama kali di bangunan baharu dengan penyertaan wakil dari Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Singapura. Sejak itu, bangunan Parlimen terus menjadi nadi kepada perjalanan demokrasi negara.
Dari sebuah dewan kecil ke bangunan yang kini berdiri megah, Parlimen Malaysia melakar sejarah panjang negara. Ia menjadi bukti sebagai simbol kebebasan dan keyakinan kita untuk terus maju tanpa henti. Semoga peranannya terus berkembang seiring kematangan bangsa dan cabaran masa depan.
Sumber: The Patriots, Iluminasi, Relevan, eCentral, Mstar