Pejam celik pejam celik, umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia tidak lama lagi. Tidak dinafikan, perasaan teruja dan gembira itu pasti ada sebab peluang ini akan digunakan oleh orang ramai untuk berkumpul dan berbuka puasa sama-sama dengan keluarga yang tercinta.
Namun, sebelum menyambut bulan Ramadan, sebagai umat Islam kita haruslah ketahui cara membayar fidyah dan siapa yang wajib membayarnya.
Apa maksud fidyah?
Fidyah adalah denda yang dikenakan untuk menebus diri sebagai umat Islam dan telah baligh yang melanggar hukum dalam ibadah puasa, haji dan yang berkaitan.
Hukum fidyah
Pembayaran fidyah ini hukumnya WAJIB dan ia disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
Bagi mereka yang tidak sempat menggantikan puasa adalah wajib untuk membayar fidyah berdasarkan bilangan hari yang ditinggalkan. Ia turut menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Firman Allah SWT:
“….dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 184)
Golongan yang dikenakan fidyah
Terdapat 5 golongan yang dikenakan fidyah akibat meninggalkan puasa iaitu;
1. Uzur Syar’ie & sakit yang boleh sembuh
Golongan yang meninggalkan puasa Ramadan akibat uzur syar’ie (musafir, haid, nifas atau wiladah) serta sakit yang ada harapan untuk sembuh. Golongan ini diwajibkan untuk qadha puasa’ sebelum tibanya bulan Ramadan akan datang.
Jika mereka gagal menggantikan puasa, maka mereka perlulah qadha’ puasa serta membayar fidyah mengikut jumlah hari yang ditinggalkan.
2. Orang sakit dan tiada harapan sembuh
Golongan ini tidak dapat berpuasa kerana menghidap sakit yang tiada harapan sembuh serta disahkan oleh doktor bahawa individu itu tidak boleh berpuasa.
Mereka tidak diwajibkan untuk qadha’ puasa namun mereka masih perlu membayar fidyah bagi tahun tersebut.
3. Ibu hamil atau menyusu yang bimbang akan kesihatan dirinya
Ibu hamil atau yang masih menyusui anaknya yang tidak dapat berpuasa di bulan Ramadan dengan sebab bimbang akan kesihatan dirinya serta kandungan atau anaknya.
Golongan ini tidak wajib bayar fidyah, tetapi mereka wajib qadha’ puasa.
4. Ibu hamil yang membimbangkan kesihatan anak atau kandungan
Ibu hamil atau masih menyusukan anak tidak berpuasa di bulan Ramadan atas sebab bimbingkan kesihatan anak atau kandungan diwajibkan kedua-duanya iaitu qadha’ puasa dan bayar fidyah.
5. Orang yang meninggal dunia
Untuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia dan tidak sempat menggantikan puasanya, maka waris mereka haruslah melaksanakan tanggungjawab untuk membayar fidyah buat si mati.
Waktu & tempoh pembayaran fidyah
Menurut sebuah portal, ulama bersepakat menyatakan bahawa waktu untuk membayar fidyah bermula sebaik sahaja ibadah berkenaan tidak dapat disempurnakan. Namun, waktunya tidak terhad pada satu tempoh waktu yang tertentu.
Individu yang lambat menggantikan puasanya hingga telah tiba bulan Ramadan tahun selepasnya, mereka akan dikenakan bayaran fidyah dan wajib qadha’ puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun yang ditinggalkan, manakala bilangan hari ganti puasa ganti adalah kekal.
Cara pengiraan
Untuk cara pengiraan bayaran fidyah, kita perlu gandakan nilainya dengan jumlah hari puasa yang ditinggalkan.
Sebagai contoh, nilai secupak beras adalah RM4 untuk kiraan fidyah di Kuala Lumpur. Jadi pengiraan akan menjadi seperti berikut;
[Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah]
5 hari x RM4.00 = RM20.00
[Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah X Bilangan Tahun Yang Ditinggalkan]
5 hari x RM4.00 x 2 tahun = RM40.00
*Ini kalau ada yang tinggal puasa tapi tak sempat ganti pada Ramadan berikutnya.
Contoh : Ali tak puasa 4 hari pada Ramadan 2021 tapi dia tak ganti atau bayar fidyah pada Ramadan 2022 dan 2023, jadi diatas adalah contoh kiraan dia kena bayar pada Ramadan 2024.
Kadar fidyah mengikut negeri
Di sini, Lobak Merah kongsikan kadar bayaran fidyah mengikut negeri-negeri di seluruh Malaysia untuk tahun 2023 berdasarkan Facebook JAKIM.
Jadi kepada yang kena bayar fidyah jangan lupa tau! Dan kepada semua umat Islam yang akan berpuasa tidak lama lagi. Selamat Menyambut Bulan Ramadan!
Sumber : Facebook (JAKIM) , Astro Awani , Bantuan Rakyat , Zakat , eCentral