in

“Meningg*l bukan sebab lemas tapi…” – Doktor Dedah Hasil Bedah Siasat Zayn Rayyan

zayn rayyan mati dijerut

Doktor yang mengendalikan bedah siasat mayat Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menyatakan punca kematian kanak-kanak autistik itu ialah disebabkan jerutan di leher.

Memetik sumber Sinar Harian, saksi pendakwaan ke-27, Pakar Perubatan Perunding Forensik, Dr Rohayu Shahar Adnan berkata dapatan itu diperoleh berdasarkan hasil bedah siasat ketika beliau berkhidmat di Hospital Sungai Buloh, pada jam 12 tengah hari, 7 Disember 2023 lalu.

Dr Rohayu berkata terdapat kesan jerutan pada leher yang bertindih terletak enam sentimeter di bawah telinga kanan dan kiri, otot leher dan kelenjar tiroid turut lebam.

Katanya, jerutan di leher mungkin boleh berlaku contohnya menggunakan tali, lanyard atau kain dipintal maka, ia bukan disebabkan mati lemas.

“Ini menunjukkan perbuatan itu cukup kuat sehingga menyekat kemasukan oksigen ke paru-paru dan otak, seterusnya melemaskan si mati hingga mengakibatkan kematian.”

Artikel berkaitan: “Stressnya sampai rasa nak…” – Perbualan Aplikasi WhatsApp Dalam Folder ‘Baby Sayang’ Berkaitan Kes Zayn Rayyan Didedahkan

Artikel berkaitan: Ismanira Gagal Jawab Beberapa Soalan, Tak Tahu Minat Zayn Rayyan – Saksi

3076151

Lelangit lebam, luka koyak bahagian dubur & kesan luka potongan

Dr Rohayu turut mendedahkan hasil bedah siasat juga mendapati, terdapat kesan trauma tumpul dan tajam pada tubuh si mangsa.

Katanya, kesan trauma tumpul adalah lebam pada dahi, kedua-dua bibir atas dan bawah, belakang kepala, rahang, tengkuk, belakang bahu kanan, di antara kedua belikat, belakang badan, dada, abdomen, sisi kanan badan, lengan bawah kanan dan lengan atas kiri.

Menurutnya, lelangit anak sulung kepada pasangan tertuduh itu turut lebam, menunjukkan terdapat benda asing dimasuk secara paksa ke dalam mulut.

Namun, katanya benda asing itu tidak membawa kepada kematian kerana punca kematiannya bukan tercekik.

Selain itu, di bahagian dubur kanak-kanak itu juga terdapat luka-luka koyak dan lelasan akibat kemasukan objek tumpul tetapi ianya tidak mematikan.

“Ada kesan trauma tumpul seperti lebam di mata, dahi, bibir, belakang kepala, rahang, tengkuk, belakang bahu kanan, antara dua belikat, belakang badan, dada, abdomen, sisi kanan badan, lengan kanan serta kiri.

“Ada juga luka potongan, tikaman dan hirisan di telinga kiri sehingga belakang kepala sebelah kiri,” katanya.

Tambahnya lagi, luka hirisan turut dikesan di belakang kepala sebelah kanan, lengan kanan atas dan bawah.

Menurutnya, kesan-kesan trauma tumpul dan tajam ini tidak mematikan tetapi merupakan penderaan fizikal ke atas mangsa.

Dr Rohayu berkata kecederaan Zayn Rayyan adalah ‘perimortem’ atau kecederaan baharu sejurus sebelum kematian kerana terdapat kesan reaksi sistem pertahanan badan yang dapat dilihat melalui pemeriksaan mikroskopik.

Menjelaskan mengenai kedutan pada kulit tapak tangan dan kaki mangsa, Dr Rohayu menyatakan itu hanya menunjukkan sentuhan atau rendaman air dan bukannya bukannya punca kematian kerana arwah tidak mati lemas dalam air.

“Tiada luka pertahanan atau luka menumbuk atau menendang dilihat pada mangsa.

“Dengan ini, saya simpulkan sebab kematian sebagai ‘ligature strangulation’ (jerut),” katanya.

Perbicaraan akan disambung esok.

Sumber: Sinar Harian