Papan kekunci atau keyboard bukanlah satu teknologi yang asing lagi buat kita semua. Daripada komputer riba, sehinggalah ke telefon pintar, semuanya menggunakan teknologi papan kekunci ini.
Malah, untuk memulakan perbualan bersama kekasih idaman juga memerlukan anda untuk menggunakan papan kekunci pada skrin telefon. Tanpa teknologi papan kekunci, mungkin anda sekarang sedang menghantar surat kepada kekasih dengan menggunakan burung merpati, ataupun khidmat penghantaran surat. Nak tanya khabar pun boleh makan masa seminggu!
Pernahkah anda terfikir, siapakah individu yang mencipta papan kekunci? Mengapa individu tersebut menyusun perkataan pada papan kekunci secara berterabur dan bukannya secara tersusun? Bukankah lebih senang jika papan kekunci disusun secara ABCDE memandangkan itu adalah susunan yang betul? Banyak betul persoalan misteri!
Kenapa QWERTY dan bukan ABCDE?
Semuanya bermula pada zaman dahulu, di mana papan kekunci manual digunakan untuk tujuan menulis. Pada zaman itu, huruf pada papan kekunci sebenarnya disusun mengikut urutan ABC sehingga ke XYZ. Namun, susunan secara mengikut urutan itu membuatkan tangan penulis bergerak dengan terlalu laju, membuatkan papan kekunci manual sering tersangkut dan rosak.
Melihatkan ramai mengalami masalah yang sama, usahawan pada zaman itu, Christopher Latham Sholes membuat kajian dan mengubah susunan huruf papan kekunci secara berselerak. Tujuannya adalah untuk memperlahankan pergerakan tangan pengguna, juga untuk mengelakkan papan kekunci manual daripada rosak dan tersangkut.
Pelik bukan? Sebelum ini, ramai yang menyangka susunan QWERTY adalah untuk memudahkan kita semua menaip dengan pantas. Menurut kajian yang dibuat, mereka mendapati banyak perkataan yang bermula dengan huruf “th” dan “st”. Untuk mengelakkan masalah papan kekunci tersangkut berlalu, mereka memisahkan huruf-huruf tersebut agar tidak terletak bersebelahan.
Namun, papan kekunci QWERTY pada zaman itu hanya terhad untuk kegunaan huruf besar sahaja, membuatkan rekaan ini kurang mendapat sambutan. Seorang ilmuwan, Remington akhirnya mencipta papan kekunci QWERTY yang membolehkan pengguna untuk menulis kedua-dua huruf besar dan huruf kecil.
Bagaimanapun, ada yang berpendapat susunan QWERTY sebenarnya membuatkan tangan pengguna boleh menaip dengan lebih pantas dan lancar. Susunan mana yang anda lebih selesa, ABCDE atau QWERTY?
BACA: ‘Among Us’ Game Yang Menguji Kepercayaan Terhadap Kawan-kawan Korang