Bintang bola sepak terkenal, Kylian Mbappé bersedia untuk menyaman Paris Saint-Germain (PSG) jika bekas kelabnya itu enggan membayar tunggakan gaji sebanyak €80 juta (RM407.44 juta).
Menurut ibu Mbappé, Fayza Lamari, mereka tidak mempunyai pilihan lain sekiranya PSG enggan menghormati kontrak yang telah ditandatangani dua tahun lalu.
Difahamkan, Mbappé meninggalkan PSG selepas kontraknya tamat pada bulan Jun dan menyertai Real Madrid sebagai seorang agen bebas, sekaligus mengikat kontrak lima tahun bersama kelab tersebut.
“Jangan kata Kylian tidak buat ini atau tidak berkata itu. Secara realitinya, tidak ada sesiapapun boleh bercakap mengenai apa yang berlaku, walaupun saya mahupun sebarang wakil dari PSG.
“Dua tahun ini, Kylian hanya melakukan perjumpaan bersama presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi secara berseorangan. Walaupun begitu, Kylian tidak pernah berhenti bermain sejak Februari,” jelasnya.
Artikel berkaitan: Bola Jauh Lagi, Gelagat Penjaga Gol Cilik Buat Netizen Terhibur
Artikel berkaitan: 7 Pemain Bola Sepak Antarabangsa Yang Nyatakan Sokongan Kepada Palestin

Dalam pada itu, Lamari turut menyifatkan perpisahan Mbappé dan PSG umpama satu ‘penceraian’.
“Buat masa ini, perkara tersebut diuruskan wakil Kylian, namun saya percaya PSG akan memastikan situasi ini kembali seperti biasa. Kami baru sahaja menerima surat daripada mereka dan keputusan akan dilakukan secepat mungkin.
“Kadangkala jika kita berpisah, kita perlu tentukan siapa dapat TV, siapa dapat kereta. Begitulah situasi kami. Saya berharap, apa yang berlaku ini tidak akan memberi sebarang persepsi buruk kepada kami dan juga PSG.
“Sama seperti penceraian, tidak ada perkara yang indah. Ada masa ia baik dan ada masanya ia buruk. Tetapi dalam masa enam bulan akan datang, saya percaya semuanya akan jadi lebih baik,” katanya.
Sumber: ESPN