Sebuah kilang di Taman Velox di Rawang dikesan menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor sehingga Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, SSP1, 2 dan 3 terpaksa dihenti tugas semalam.
Kilang itu dikesan melupuskan buangan terjadual melalui lurang pembentungan di dalam premis dan mengalir ke loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK), lapor FMT.
Sumber dari pasukan siasatan bersama itu berkata, hasil pemeriksaan premis itu pihak mereka telah menemui 40 tangki air plastik mengandungi cecair pelbagai warna dan abu seakan-akan bau yang dikesan di loji rawatan kumbahan IWK.
Berdasarkan siasatan, premis itu disyaki menyimpan buangan terjadual seperti dakwat, cat dan pigmen. Premis itu juga didapati melupuskan buangan terjadual ini melalui lurang pembetung di dalam premis.”
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang yang turut meninjau keadaan di lokasi berkata air di dalam loji tersebut dilihat bertukar kepada warna merah dan mengeluarkan bau seakan-akan bawang busuk.
Sementara itu, menurut Berita Harian, kerajaan Selangor tidak menolak kemungkinan tindakan kilang tersebut merupakan angkara sabotaj.
“Untuk makluman juga, pemeriksaan yang dilakukan sekitar jam 2 hingga 7 pagi tadi oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mendapati, bacaan air di Sungai Gong dan Sungai Sembah masih berada di tahap sifar TON.”
Justeru, pencemaran ini mungkin berlaku antara jam 7 hingga 10 pagi dan kita mengesyaki ada sabotaj yang berlaku.”
Kerajaan negeri akan membuat laporan polis mengenai hal ini dan siapa yang di belakang (tindakan sabotaj).”
Kata sumber itu lagi, sebanyak 10 sampel diambil dan laporan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dan Majlis Perbandaran Selayang dilaporkan telah menyita kilang tersebut kerana tidak memiliki lesen.
Pasukan siasatan bersama terdiri daripada Jabatan Alam Sekitar, polis, MPS, Pejabat Tanah Gombak, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Air Selangor.