Orang ramai masih lagi mengulas mengenai kes tragis pembunuhan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas kesemua enam pelaku yang merupakan bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Terbaharu, ibu kepada Zulfarhan iaitu Hawa Osman mendedahkan sepanjang kes berjalan, mereka pernah tidak disukai keluarga tertuduh kerana memakai baju yang tertera tulisan #justice4farhan.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook, Hawa meluahkan rasa kesal apabila ada dakwaan yang mengatakan keluarga tertuduh menganggap kejadian yang menimpa anaknya sebagai salah satu kenakalan anak-anak sewaktu di usia mentah.
Artikel berkaitan: “Terbukti Along tak bersalah” – Adik Arwah Zulfarhan Zahir Rasa Syukur Keadilan Memihak Kepada Abang
Artikel berkaitan: “Punca segala kejadian” – Netizen ‘Throwback’ Kes Zulfarhan, Pencuri Sebenar ‘Laptop’ Kekal Misteri
Katanya lagi, ketika awal kes ini berlaku, ibu bapa pelaku tidak datang untuk meminta maaf kepada keluarga mangsa.
“Kenapa masa awal-awal kes kau sebagai mak bapak tak minta maaf kat kami? Kau buat musuh.
“Pakai baju Justice 4 Farhan pun kau marah. Bila anak kau kena (hukuman) ke tali gantung, baru kau kata mereka budak-budak nakal. Budak-budak nakal boleh ke? Membuli hingga macam tu sekali,” luahnya.
Menceritakan kejadian yang menimpa anaknya, Hawa berpendapat perbuatan kesemua pelaku adalah perbuatan kejam dan tiada berperikemanusiaan.
Imbas kembali, kesemua mereka yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Zulfarhan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Sumber: Facebook