Konflik yang berlaku antara Israel dan Iran ketika ini bukan sahaja menggoncang politik serantau, tetapi juga akan memberi kesan terhadap ekonomi dunia.
Antara perkara yang paling merisaukan ialah kemungkinan Iran menutup Selat Hormuz iaitu laluan laut yang amat penting bagi perdagangan minyak dan gas asli cecair.
Sehubungan itu, Malaysia menggesa agar kekal buka Selat Hormuz. Menurut sumber, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan menghubungi rakan sejawatnya dari Iran, Seyeed Abbas Araghchi dalam masa terdekat untuk meminta supaya laluan penting eksport minyak itu tidak ditutup.
Artikel berkaitan: Media Iran Laporkan Israel Serang Ibu Pejabat Kementerian Pertahanan Di Tehran
Artikel berkaitan: Iran Beri Amaran Akan Buat Serangan Lebih Dahsyat Terhadap Israel Kalau US Masuk Campur
Beliau berkata sekiranya ditutup, ia boleh mengakibatkan laluan untuk perdagangan minyak daripada rantau Timur Tengah terganggu sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan minyak dunia dan melonjakkan harga pasaran global.
“Terdapat ura-ura pihak Iran mungkin menutup laluan bekalan di Selat Hormuz yang menjadi pintu masuk sempadan Iran-Oman, tindakan ini berpotensi menjejaskan rantaian bekalan minyak global.
“Ini akan mencetuskan perkara yang amat merumitkan dunia kerana bekalan minyak banyak datang dari kawasan berkenaan terutama dari Iran dan Qatar. Saya akan cuba berhubung dengan rakan sejawat saya daripada Iran malam ini atau esok,” katanya.
Tambahnya lagi, Malaysia memahami kedudukan dan keadaan Iran yang agak tertekan ketika ini, namun negara itu perlu mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat antarabangsa dan perdagangan global.
Selat Hormuz yang terletak di antara Teluk Parsi dan Teluk Oman, adalah laluan laut penting dengan kira-kira satu pertiga daripada perdagangan minyak global, iaitu 17 hingga 20 juta tong minyak mentah dan kondensasi, melalui laluan itu setiap hari.
Kira-kira 70 peratus daripada jumlah itu dihantar ke Asia termasuk China, Jepun, India, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Pakistan, dan Filipina, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
Sumber: Astro Awani