Kalau sebelum ini Lobak Merah pernah kongsikan artikel mengenai seorang majikan yang melarang pekerjanya mengecas telefon bimbit di pejabat sampai keluarkan notis amaran, kali ini, kami nak kongsikan pula tentang kerenah seorang boss yang meminta pekerjanya membayar yuran bulanan jika mahu minum air dari water dispenser di pejabat.
Portal Times Now melaporkan, insiden pelik berkenaan mula dikongsikan di laman Reddit sebelum tular di beberapa media sosial seperti Instagram dan Twitter namun tak didedahkan dimanakah lokasi sebenar kejadian.
Menerusi posting terbabit, dapat dilihat ada satu notis ditampalkan di sebelah satu water dispenser. Menurut notis terbabit, mana-mana pekerja syarikat terbabit yang ingin menikmati air di dalam water dispenser berkenaan perlu menyertai sebuah kelab selain membayar yuran bulanan sebanyak AS$5 (RM21.09).
“Hi peminum air, jika anda nak menikmati POLAND SPRING WATER yang sedap ni sila jumpa pekerja berkenaan untuk daftarkan diri bagi menyertai kelab air. Air ini bukan percuma. Ahli kini sedang menikmati isian semula tanpa had dengan bayaran bulanan AS$5” tulis notis berkenaan.
Aik, minum air pun kena caj?
Jika mengikut undang-undang Workplace (Health, Safety and Welfare) Regulations 1992, setiap majikan di United Kingdom perlu membekalkan bekalan air minuman di kawasan yang jelas ditanda.
Manakala di Amerika Syarikat pula, undang-undang juga memerlukan majikan untuk membekalkan air minuman kepada pekerja dan bayaran tidak boleh diminta atas fasiliti berkenaan.
Disebabkan itu, tak menjadi satu kejutan lah jika posting berkenaan menerika pelbagai kecaman daripada netizen. Ada yang mengatakan majikan di pejabat berkenaan mungkin adalah bos paling teruk di dunia.
“Lima dollar sebulan?! Lebih baik beli air kat Costco. Dapat banyak dan kompem harga kurang daripada tu,” tulis netizen.
“Kalau setahun kena bayar dekat 60 dollar. Harapnya air tu bolehlah sembuhkan penyakit kanser kalau begitu harganya,” kata yang lain pula.
Rupanya normal di pejabat kerajaan?
Pun begitu, laman web LADBible pula mengatakan terdapat penjelasan disebalik notis mengecas air ini. Notis berkenaan dikatakan telah ditampal di sebuah water dispenser di sebuah syarikat kerajaan.
Difahamkan, mana-mana majikan di syarikat kerajaan tidak dibenarkan untuk membeli air jika terdapat air paip boleh diminum yang boleh diakses kerana perbuatan membeli air diibaratkan seperti pembaziran wang awam. Pulak dah…
Sumber: Times Now, LADBible
Baca: Notis Larangan Cas Telefon Bimbit Di Pejabat, Bos Dakwa Perbuatan Itu Ibarat Mencuri