Masih ingatkah lagi dengan kisah tragis dan menyayat hati yang berlaku 12 tahun lalu mengenai seorang kanak-kanak yang dibunuh dengan kejam tanpa belas kasihan oleh pembunuhnya?
Terbaharu, pembunuh kepada kanak-kanak yang bernama Nurul Nadirah Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dirang dikekalkan ke tali gantung oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya.
Menurut laporan Harian Metro, permohonan si pelaku, Muidin Maidin, 37, yang juga seorang bekas buruh kontrak bagi semakan mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya telah ditolak oleh panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Tengku Maimun berkata, keputusan mengekalkan hukuman gantung itu dibuat selepas mahkamah mengambil kira secara keseluruhan kejadian yang berlaku.
“Mengambil kira keadaan kes ini, permohonan pemohon (Mudin) ditolak, hukuman mati dikekalkan,” kata Tengku Maimun.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.
Artikel berkaitan: Dirang: Mangsa Perbuatan Kejam Manusia Tanpa Perikemanusiaan
Artikel berkaitan: 7 Kes Kehilangan dan Pembunuhan Kanak-kanak Yang Pernah Menggemparkan Malaysia
Mengikut pertuduhan Muidin (ketika kejadian) dituduh membunuh Dirang yang berusia 4 tahun 9 bulan, di ladang kelapa sawit di Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, Masai di Johor Bahru antara pukul 11.30 pagi, 1 Mac dan 12 tengah malam pada 2 Mac 2012.
Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari selaku responden memohon mahkamah mengekalkan hukuman mati terhadap pemohon seperti mana keputusan mahkamah terdahulu.
“Kes ini adalah satu kes tragis yang mana mangsa ketika kejadian baru berusia empat tahun dan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli mi segera dan telur.
“Pemohon (Muidin) kemudian membawa mangsa ke kebun kelapa sawit (tempat kejadian berlaku) di situ mangsa dibunuh dan dibakar.
“Terdapat juga kesan asid deoksiribonukleik (DNA) milik tertuduh dalam kemaluan dan dubur mangsa,” kata Mohd Amril.
Sementara itu, peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili pemohon memohon mahkamah membenarkan semakan dengan mengetepikan hukuman gantung itu.
Kata peguam itu, sejak berada di dalam penjara pada 2012, anak guamnya banyak mendekatkan diri dengan aktiviti keagamaan dan sudah insaf.
“Sepanjang 12 tahun dipenjara pemohon banyak menyertai aktiviti keagaamaan dan motivasi yang dianjutkan penjara. Pemohon menerima sekiranya mahkamah menggantikan hukuman mati kepada penjara maksimum 40 tahun,” katanya.
Mendengar hujah peguam itu, Mohd Amril membantah dengan mengatakan meskipun Muidin insaf, tapi itu tidak mencukupi untuk menebus perbuatan kejam dengan apa yang dilakukan terhadap adik Dirang.
Kejadian yang menimpa adik Dirang pada 2012 itu juga mendapat liputan meluas sehingga menaikkan rasa marah dan dukacita rakyat Malaysia apabila seorang budak perempuan yang sepatutnya dilindungi diperlakukan sedemikian rupa.
Sumber: Harian Metro