in

Madeleine McCann: Kes Kanak-Kanak Hilang Paling Popular Tapi Masih Jadi Misteri Hingga Sekarang

collage 10

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pada 3 Mei 2007, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Madeleine McCann hilang di dalam bilik hotel ketika sedang bercuti dengan keluarganya di Portugal. Kes ini merupakan kes orang hilang paling banyak mendapat liputan media dalam sejarah moden. Namun begitu, sehingga hari ini kehilangan Madeleine masih menjadi misteri. Apa sebenarnya yang berlaku?

Kehilangan Madeleine McCann

0 Missing Madeleine McCann

Pada tahun 2007, Kate dan Gerry McCann telah membawa anak-anaknya iaitu Madeleine yang berusia tiga tahun dan adik kembarnya yang berusia dua tahun untuk bercuti di sebuah tempat peranginan di Praia da Luz, Portugal.


Keluarga ini telah menyewa sebuah apartment tingkat bawah dan Madelein McCann hilang dari bilik tersebut pada malam 3 Mei 2007 apabila ibu bapanya tinggalkan anak-anaknya tidur di dalam bilik untuk makan malam bersama kawan-kawannya di restoran pada jam 8.30 malam.

Kerana kedudukan restoran sangat dekat dengan apartment mereka, pasangan ini telah bergilir-gilir untuk melihat keadaan anak-anak mereka sepanjang makan malam. Namun pada jam 10 malam, Kate perasan Madeleine telah hilang.

Madeleine tak pernah ditemui sejak malam itu.

Suspek kes kehilangan Madeleine McCann

illustration of robert murat

Salah seorang suspek pertama kes ini merupakan seorang lelaki berusia 33 tahun bernama Robert Murat. Konsultan hartanah ini tinggal berdekatan dengan apartment keluarga tersebut. Pada jam 9.15 malam hari kejadian, seorang lelaki dilihat sedang berjalan menuju ke rumah Robert sambil mendukung seorang kanak-kanak.

Pada ketika itu, tak ada siapa yang tahu Madeleine hilang atau kanak-kanak yang didukung itu adalah Madeleine. Namun begitu, tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan Robert dengan kehilangan kanak-kanak malang ini dan statusnya sebagai suspek kemudiannya ditarik balik.

Empat bulan selepas kehilangan Madeleine, polis Portugis telah menambah ibu bapa kanak-kanak ini sebagai suspek. Beberapa polis percaya bahawa Madeleine telah meninggal di dalam apartment mereka dan kisah penculikan ini hanyalah dibuat bagi menutup kematiannya.

Pihak berkuasa di sana membuat kesimpulan ini selepas dua anjing pengesan yang telah dilatih untuk mengesan bau darah manusia dan mayat dibawa ke tempat kejadian oleh polis British pada Julai 2007.

Ketika anjing-anjing ini dibawa ke pelbagai lokasi, ia hanya membuat reaksi apabila berada di dalam apartment keluarga tersebut dan di dalam kereta yang disewa oleh keluarga ini selama 24 hari selepas anak perempuan mereka hilang.

3118.jpg

Teori pihak berkuasa ialah, Gerry dan Kate mungkin telah menyembunyikan mayat anaknya itu dan mereka cerita mengenai penculikan sebelum meletakkan mayat anaknya ke dalam kereta beberapa minggu kemudian. Ekoran mayat kanak-kanak ini tak ditemui, polis percaya ibu bapa ini telah meletakkan mayat Madeliene di satu lokasi yang tak dapat ditetapkan.

Manakala motifnya pula, ibu bapa Madeleine yang juga merupakan doktor ini telah dituduh memberikan anak-anak mereka ubat penenang untuk tidurkan mereka sementara mereka keluar makan malam. Namun begitu mereka telah terberi dos terlebih kepada Madeleine sehingga menyebabkan kanak-kanak tersebut meninggal dunia secara tak sengaja. Jadi untuk elak dari masuk penjara, mereka telah membuat cerita mengenai penculikan anaknya.

Tak cukup dengan itu, teori pihak berkuasa ini dikuatkan lagi apabila mereka turut menemui DNA rambut dan serat Madeleine di dalam kereta yang disewa selepas kehilangan kanak-kanak tersebut.

Namun begitu, bukti ini tidak boleh dipakai kerana 50 peratus dari DNA Madeleine turut dikongsi oleh kedua ibu bapanya. Jadi agak sukar untuk pakar mengetahui sama ada padanan DNA tersebut benar atau hanya kebetulan.

Pada Julai 2008, status Kate dan Gerry McCann sebagai suspek telah ditarik balik dan kedua mereka masih mengharapkan agar anak mereka ditemui sehingga hari ini.

Teori kehilangan Madeleine McCann

praia da luz ocean club 768x437 1

Salah satu teori yang dikaitkan dengan kehilangan Madeleine adalah kanak-kanak ini dikatakan telah diculik selepas dia terbangun dan melihat pencuri tersebut sedang mencuri. Namun begitu, biasanya jika senario seperti ini berlaku, pencuri yang panik akan meninggalkan banyak klu kerana cuai.

Bekas ketua polis di sana juga turut mengatakan teori ini merepek kerana tiada barang yang hilang di dalam bilik tersebut. Hanya kanak-kanak itu.

Teori lain mendakwa Madeleine telah diculik oleh lelaki pedofil tempatan. Laporan pada 2009 menunjukkan, kawasan percutian mereka itu penuh dengan lelaki pedofil pada ketika itu.

Ada 38 pesalah seks di kawasan tersebut. Kawasan itu seperti magnet untuk pedofil. Malah, ada tujuh serangan melibatkan anak-anak pelancong sepanjang empat tahun dan kesemuanya mempunyai modus operandi yang sama iaitu pecah masuk ke dalam apartment percutian dan mencabul kanak-kanak. Lima kes berlaku sebelum penculikan Madeleine dan dua selepas. Satu kes berlaku sebulan sebelum dia hilang.”

Namun begitu penyiasat mengatakan bahawa pedofil biasanya tak mengambil risiko untuk pecah masuk rumah bagi mengambil kanak-kanak.

Satu lagi teori mengatakan, Madeleine telah terjaga dan mula berkeliaran di luar dan dilanggar oleh kereta. Pemandu yang melanggarnya itu kemudiannya panik dan menyembunyikan mayatnya.

Tapi keluarga Madeleine mengatakan kanak-kanak itu nak buka tingkap pun tak boleh apatah lagi nak memanjat keluar. Bukan itu sahaja, agak pelik untuk kanak-kanak berkeliaran ke arah gelap menuju ke jalan raya berbanding pergi ke kawasan restoran yang terang benderang.

Perkembangan terbaru kes Madeleine McCann

Pada April 2022, Polis Jerman mengumumkan tentang siasatan mereka terhadap seorang suspek bernama Christian Bruckner. Lelaki tersebut dilaporkan telah berkhemah di kawasan tersebut ketika insiden itu berlaku dan memberitahu teman wanitanya pada malam sebelum penculikan itu bahawa dia akan membuat sesuatu yang teruk keesokan harinya.

Sementara itu, lelaki ini juga turut mempunyai rekod jenayah seperti serangan seksual yang turut melibatkan kanak-kanak. Kalau korang nak tahu, Bruckner sekarang di dalam penjara atas kesalahan membunuh seorang warga emas berusia 72 tahun di resort yang sama Madeleine hilang.

Screenshot 2023 05 11 at 2.45.12 PM

Polis Jerman juga turut mendakwa yang mereka telah menemui bukti baru mengaitkan Madeleine dengan Bruckner yang ditemui di dalam van milik lelaki tersebut.

Tak cukup dengan itu, mereka juga dikatakan mempunyai bukti yang kukuh bahawa kanak-kanak itu telah pun meninggal dunia.

Tapi buat masa sekarang, kehilangan Madeleine kekal menjadi misteri dan keluarganya juga masih menanti jawapan mengenai anak perempuannya ini.

Sumber: ati, independent

 

Baca: James Bulger: Budak 2 Tahun Diculik & Dibunuh Dua Kanak-kanak Umur 10 Tahun, Ramai Saksi Tapi…

collage 2

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.