in

Mad Nor Tegur Cara Perbelanjaan Gen Z, Betul Ke Golongan Muda Kini Hadapi Masalah Kewangan?

Featured LM

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, topik mengenai Gen Z atau generasi muda yang lahir sekitar tahun 1997 hingga 2012 kerap menjadi perbualan hangat di media sosial.

Kehadiran mereka yang mendominasi ruang digital menjadikan setiap tingkah laku, pendapat dan gaya hidup golongan ini sentiasa menjadi perhatian umum.


Pelbagai sudut perbincangan mengenai Gen Z dibahaskan tanpa henti dan antara yang paling mencuri tumpuan adalah cara perbelanjaan mereka atau lebih dikenali sebagai budaya ‘self-reward’ iaitu satu trend berbelanja yang sering dikaitkan dengan usaha memenuhi keperluan emosi dan kepuasan diri generasi kini.

Seorang pempengaruh TikTok, Mad Nor, sering membuat hantaran di aplikasi tersebut dengan menegur golongan muda agar sentiasa beringat dalam menguruskan perbelanjaan di samping tidak lupa untuk mewujudkan simpanan kewangan bagi kegunaan masa hadapan.

Persoalannya, adakah benar generasi kini sedang berdepan masalah kewangan akibat cara hidup dan corak perbelanjaan mereka sendiri? Mari kita fahami konsep ‘self-reward’ terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan: Boros Sampai Bankrapkan Negara Sendiri! Ini 7 Raja Paling Teruk & Kejam Dalam Sejarah Dunia – Lobak Merah 

Artikel Berkaitan: Apa Itu ‘Frugal Living’? Gaya Hidup Berjimat Cermat Yang Jadi Pilihan Generasi Sekarang – Lobak Merah 

Konsep ‘Self-reward’

Featured LM 3

‘Self-reward’ bermaksud memberi ganjaran kepada diri sendiri atas pencapaian, usaha atau sekadar melepaskan stres semata-mata sebagai tanda penghargaan terhadap diri sendiri.

Apabila mereka berjaya menyelesaikan sesuatu tugasan atau mencapai sasaran tertentu, generasi kini cenderung untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri dengan membeli barangan yang diingini, menikmati makanan kegemaran, melakukan aktiviti kesukaan, malah ada juga yang memilih untuk melancong.

Bagi golongan muda seperti Gen Z, ‘self-reward’ ini dilihatkan sebagai salah satu cara untuk melepaskan tekanan, menjaga kesejahteraan mental dan emosi serta sebagai motivasi untuk terus bergerak maju dalam kehidupan.

Namun begitu, ‘self-reward’ ini juga boleh dilihat sebagai gaya hidup yang membawa unsur pembaziran sekiranya tidak mengawal cara perbelanjaan. Secara tidak langsung, ia akan menjejaskan perancangan kewangan dalam jangka masa panjang.

Self-reward didik tabiat boros

Featured LM 2

Generasi muda hari ini juga dilihat semakin cenderung kepada gaya hidup yang memberi kepuasan segera. Dengan cara ’self-reward’ inilah yang menjadikan mereka sering memberi ganjaran pada diri sendiri melalui pembelian barangan, makanan atau macam-macam lagi, menjadikan trend ini semakin dinormalisasikan dalam kalangan mereka.

Fenomena ini bukan sahaja sedang berlaku di Malaysia saja, bahkan Gen Z di negara-negara lain turut berdepan dengan masalah yang sama.

Budaya ini juga menjadikan mereka kurang menghiraukan baki simpanan dan lebih tertarik pada kepuasan yang sementara demi menjaga kesejahteraan mental dan emosi yang dikatakan telah bekerja keras.

Jika dibiarkan tanpa kawalan, masalah ini akan menyebabkan generasi muda terjerumus kepada situasi kewangan yang rapuh.

Amalan sikap You Only Live Once (YOLO)

Featured LM 4

Menurut media portal tempatan, sebahagian golongan muda mula kecewa dengan situasi ekonomi, pasaran hartanah dan peluang pekerjaan yang menyebabkan mereka mula merasakan konsep menyimpan duit adalah satu usaha yang sia-sia.

Kekecewaan ini telah menjadikan mereka putus asa untuk berusaha atas alasan ‘you only live once’ (YOLO). Akibatnya, sebahagian daripada mereka ini lebih memilih untuk menikmati kehidupan sekarang tanpa memikirkan perancangan jangka panjang.

Walaupun sikap ini dikatakan boleh melepaskan tekanan serta menjaga kesejahteraan mental dan emosi, namun ianya masih boleh melemahkan kestabilan kewangan mereka sendiri suatu hari nanti.

Dan sebab itulah, pempengaruh Mad Nor mengambil langkah untuk memberi pesanan kepada golongan muda terutamanya Gen Z ini untuk sentiasa beringat dengan cara perbelanjaan mereka.

Apa pun yang awak buat, kena ada simpanan. Sebab saya tengok lifestyle dia orang tak seimbang dengan pendapatan diaorang,” katanya dalam temubual bersama radio Era.

Perlu berhutang untuk tampung kos hidup harian 

Featured LM 5

Memang tidak dinafikan teknologi kini yang makin canggih telah banyak memudahkan urusan kehidupan kita seharian. Tapi, bila mana ada sifat pemikiran ‘you only live once’ inilah membuatkan ramai terjerumus dalam kemudahan bayaran ansuran seperti BNPL (Buy Now Pay Later) yang sekaligus menjadikan mereka terdedah dengan hutang.

Menurut BNM Financial Capability and Inclusion Survey 2024, graduan kini perlu menanggung pelbagai jenis hutang seperti PTPTN, BNPL, kad kredit dan sebagainya yang kebanyakannya bukan untuk membeli aset jangka panjang tetapi sekadar untuk menampung kos hidup harian.

Lebih membebankan, isu ini bermula disebabkan gaji permulaan bagi graduan biasanya kurang daripada RM3,000 walhal kos barangan dan perkhidmatan terus meningkat lebih pantas daripada purata pendapatan.

Keadaan gaji permulaan yang rendah ini juga menyebabkan ramai graduan gagal mengekalkan gaya hidup mereka yang sudah terbentuk sejak kecil iaitu terbiasa dengan kemewahan, mudah terpengaruh dengan media sosial serta budaya ‘self-reward’. 

Apabila mula bekerja dengan pendapatan yang tidak sepadan, mereka mendapati sukar untuk menyesuaikan perbelanjaan dengan kemampuan sebenar dan akhirnya kemudahan seperti BNPL menjadi jalan pintas untuk menampung gaya hidup tersebut.

Kurang literasi tentang kewangan 

Featured LM 6

Namun, sebelum kita menyalahkan golongan muda atas masalah kewangan mereka, persoalannya adakah mereka ini pernah diajar cara mengurus wang dengan betul?

Menurut Bernama, sistem pendidikan hari ini masih memberi keutamaan kepada silibus akademik dan peperiksaan, tetapi kurang menekankan kemahiran hidup yang kritikal seperti mengurus bajet, memahami faedah kompaun atau cara mengenal pasti risiko hutang.

Ramai sebenarnya yang sudah melangkah ke dunia dewasa tanpa pemahaman yang jelas mengenai pengurusan kewangan yang baik. Mereka tidak didedahkan dengan perkara asas seperti membaca slip gaji, memahami caruman KWSP dan PERKESO, mengurus hutang dan sebagainya sehinggalah berdepan dengan masalah ekonomi mereka.

Dengan adanya pendedahan ini secara meluas, ia boleh memberi kesan terus kepada keupayaan generasi kini dalam membuat keputusan yang sihat. Pendidikan kewangan juga sepatutnya boleh diperkenalkan lebih awal dalam sistem pendidikan sebagai kemahiran asas untuk bertahan dalam ekonomi hari ini.

Namun sebagai anak muda, kita juga perlu mengambil inisiatif sendiri untuk mengurus kewangan dengan lebih bijak. Pendedahan dan pendidikan memang boleh bantu kita dalam pengurusan kewangan, tapi ianya juga bergantung kepada disiplin dan pilihan kita sendiri juga.

Sumber: Bernama, The Rakyat Post

Sumber: Erik Mclean
Sumber: Oksana Vejus
Sumber: tomazl
Sumber: Bigc Studio
Sumber: peshkov

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.