Seekor beruang matahari di Zoo China telah mengundang perhatian ramai apabila tular rakaman video yang mendakwa haiwan itu adalah manusia yang memakai kostum.
Menerusi video yang dikongsikan itu, haiwan itu dilihat sedang bermesra dengan pengunjung dan aksinya yang berdiri tegak telah mengundang pelbagai reaksi netizen.
Netizen mempersoalkan bagaimana beruang itu boleh berdiri tegak di atas dua kaki dengan kulit kelihatan longgar di bahagian belakangnya yang nampak seperti seseorang memakai kostum beruang tapi dengan saiz yang tidak sesuai.
https://twitter.com/shaoxia33139500/status/1685559827786031104?s=20
Pihak zoo nafi manusia menyamar sebagai haiwan
Susulan itu, pihak zoo tampil menafikan dakwaan tersebut dengan mengesahkan bahawa beruang itu adalah haiwan sebenar yang ditempatkan di zoo itu pada tahun 2020.
Memetik sumber MalayMail, kakitangan zoo memberitahu bahawa sebagai sebuah zoo milik pemerintah, tidak mungkin mereka menggunakan manusia untuk memakai kostum haiwan.
“Suhu musim panas boleh mencecah hampir 40 darjah Celsius. Jika seseorang memakai kostum, mereka akan pengsan dalam masa beberapa minit kerana suhu panas,” katanya.
Menurut pihak zoo, haiwan itu adalah beruang matahari Malaya yang mempunyai bentuk fizikal lebih langsing berbanding dua spesies beruang lain di taman berkenaan.
Katanya, beruang matahari adalah spesies beruang terkecil di dunia dan merupakan spesies terancam yang berasal dari hutan hujan Asia Tenggara.
Tambahnya, beruang matahari itu mempunyai kebolehan berdiri menggunakan dua kakinya dan sangat mesra dengan pengunjung.
Manakala lipatan kulit pada beruang membantu melindunginya daripada pemangsa kerana kelonggaran itu membolehkan ia berpusing dan melawan haiwan yang lebih besar.
Baca: Tak Terurus & Nampak Kurus, Netizen Terkejut Tengok Keadaan Panda Di Zoo Memphis