Siapa yang tak tahu dengan kewujudan Forest City di Johor Bahru kan. Kawasan tersebut dibangunkan untuk menjadi salah satu tarikan mewah di negeri itu.
Seorang wartawan dari Insider yang dikenali sebagai Marielle Descalsota baru-baru ini telah berkunjung ke sana untuk mengalami sendiri pengalaman tinggal di sana selama tiga hari.
Menurut laman web Insider, Marielle telah mengatakan ketika kunjungannya itu, hanya ada beberapa perniagaan yang beroperasi walaupun bandar itu mempunyai sebuah pusat beli belah, dua buah resort, sekolah antarabangsa dan galeri jualan.
Ketika dihubungi melalui emel, pihak pemaju hartanah Forest City iaitu Country Garden mengatakan bahawa bandar berkenaan bukanlah dibina untuk dijadikan kawasan kediaman.
Sumber turut mengatakan, kawasan itu seolah-olah ‘bandar hantu’ dan hanya seramai 500 penduduk tinggal di situ pada tahun 2019.
Marielle kemudiannya telah tinggal di Forest City Golf Resort selama tiga hari di sana.
Difahamkan, terdapat dua buah hotel di sana namun hanya satu yang dibuka ketika dia ke sana.
Penginapan selama tiga malamnya di hotel golf itu telah memakan kos sebanyak $104 iaitu sekitar RM458 satu malam untuk deluxe suit.
Tarikan utama di hotel ini ialah padang golfnya yang besar. Disebabkan itulah, tetamu utama Forest City Golf Hotel ialah mereka yang gemar bermain golf yang kebanyakannya dari Singapura.
Marielle juga menulis pengalamannya di kolam renang hotel itu di mana hanya ada beberapa orang saja yang dilihat berenang di situ sepanjang tiga hari.
Walau bagaimanapun, dari segi bilik hotel, memang sangat besar dan mewah rekaannya sebab siap ada ruang tamu lagi dengan sofa.
Dalam tandas bilik hotel pula, kemudahan jakuzi turut disediakan. Namun, dalam masa yang sama, Marielle perasan ada beberapa kekotoran di dalam biliknya seperti di bahagian sisi jakuzi.
Dari segi makanan pula, Marielle menghabiskan masa makannya di resort berkenaan kerana tiada pilihan lain.
Katanya, susah untuk dia keluar dari hotel itu kerana tiada kenderaan persendirian.
Nak naik teksi pun susah sebab katanya, dia dah hubungi lima buah syarikat teksi tempatan namun kesemuanya cakap tak ada pemandu yang sanggup datang ke sana.
Perkhidmatan e-hailing juga dikatakan tidak beroperasi di Forest City. Nasib wartawan ini baik apabila ada seorang staf hotel yang mahu membawanya keluar dari situ pada hari terakhir dengan bayaran sebanyak RM50.
Kedai serbaneka dan servis penghantaran makanan juga tiada di bandar tersebut. Yang ada pun hanyalah kedai runcit.
Marielle menutup perkongsiannya dengan mengatakan resort itu memang menjadi pilihan ramai peminat sukan golf kerana padang golfnya yang besar dan suasana yang sunyi, namun untuk pelancong biasa, kawasan itu tak sesuai sebab tak ada aktiviti sangat yang boleh dilakukan.
Tambahnya lagi, buat masa sekarang, dia mengatakan tidak akan kembali lagi ke resort itu.
Untuk rekod, sebelum ini, kawasan Forest City telah disenaraikan dalam video Most Useless Megaprojects in the World.
Boleh tengok video yang dikongsikan oleh saluran Top Luxury ini untuk tahu dengan lebih lanjut.
Sumber: Insider
Baca: 8 Pulau Cantik Di Johor Wajib Dikunjungi Bila Dah Boleh Rentas Negeri