Baru-baru ini, penyanyi Faizal Tahir telah mengumumkan tarikh konsert solonya yang akan diadakan di Kuala Lumpur, bagaimanapun, orang ramai lebih menumpukan perhatian kepada harga tiket yang dikatakan mahal.
Menurut Faizal, dia akui terkejut pada awalnya namun, perkara itu di luar kawalannya dan dia tiada kuasa untuk menentukan harga jualan tersebut memandangkan dia sudah menyerahkan urusan penjualan tiket sepenuhnya kepada pihak penganjur.
“Soal harga saya tidak boleh jawab lebih kerana di luar bidang kuasa saya. Tapi perkara ini saya sudah serahkan 100 peratus kepada pihak pengurusan tapi seperti penganjur cakap sebelum ini, mereka mengambil kira banyak perkara untuk menetapkan harga tiket ini,” katanya.
Dalam pada itu, Faizal turut akui sedikit tertekan apabila melihat harga tiket yang ditawarkan namun dia berjanji akan memberikan persembahan terbaik pada malam konsert berkenaan.
“Sejujurnya ia memberikan sedikit tekanan buat saya apabila melihat harga tiket seperti itu. Sebagai penghibur, saya perlu memberikan yang terbaik untuk memastikan harga tiket yang mereka bayar itu berbaloi,” ujarnya.
Faizal bagaimanapun meluahkan rasa kecewa apabila harga tiket itu dipersoal sedangkan peminat sanggup membayar lebih untuk menonton persembahan artis luar negara seperti artis Barat, Korea, Jepun atau Indonesia.
Tambah Faizal, dengan pengalamannya bergelar sebagai seorang penyanyi dalam masa 17 tahun, dia yakin dia dapat menghasilkan karya yang cukup baik untuk dihargai peminat yang sanggup membayar harga konsert sebanyak itu.
Difahamkan, konsert berkenaan bakal berlangsung di Dewan Merdeka, World Trade Centre pada 2 September ini dengan harga tiket bermula RM488 (Platinum), RM588 (Diamond) dan RM688 (VIP).
Apa pendapat korang pasal harga tiket Faizal Tahir ni?
Baca : “Anak syurga” – Sikap Positif Faizal Tahir Dipuji, Reda Anak Ke-7 Dilahirkan Dengan ‘Down Syndrome’