Setiap hari mesti ada je kan cerita-cerita viral yang berlaku di Malaysia sampai kadang-kadang susah betul nak kita nak ikuti semua. Tapi pada masa yang sama kita pun tak naklah terlepas isu-isu semasa yang tengah berlaku sekarang ni kan?
Jadi macam biasa, #LobakMerahTOP5 akan senaraikan berita-berita hangat, sensasi dan viral yang berlaku pada minggu ini supaya korang sentiasa up-to-date dengan isu semasa yang berlaku di Malaysia sekarang.
1. Ramai kecewa Siti Nurhaliza sertai konsert David Foster
Hujung minggu lalu, nama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi bualan ramai susulan penyanyi itu menyertai konsert Hitman Returns: David Foster and Friends yang diadakan di Jakarta, Indonesia pada 15 Jun lalu.
Ia menjadi bualan hangat kerana David Foster yang merupakan komposer lagu terkenal itu dilihat pernah menunjukkan tanda sokongan terhadap tentera Israel dengan menyertai konsert ‘amal’ Friends of the Israel Defense Forces (FIDF).
Difahamkan, Siti Nurhaliza menyertai konsert itu di saat akhir bagi menggantikan tempat penyanyi United Kingdom (UK), Jessie J.
Tak cukup dengan itu, tular satu video menunjukkan David Foster telah menarik mikrofon Siti ketika penyanyi kesayangan ramai in belum selesai menyanyi. Ramai menganggap tindakan David itu seperti tidak menghormati Siti Nurhaliza.
Artikel berkaitan: Tular Video ‘Mic’ Ditarik David Foster, Netizen Kecewa Siti Nurhaliza Sertai Konsert ‘Hitman Returns’
2. Luahan diari lelaki OKU buat ramai netizen sebak
Tular satu video yang dikongsikan oleh Radio Era mengenai seorang lelaki OKU yang meluahkan rasa rindunya kepada keluarga selepas hampir tujuh tahun tinggal di Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kajang, Selangor.
Menerusi hantaran tersebut, penyampai radio Muna Bella telah membaca diari salah seorang penghuni di situ yang dikenali sebagai Syafiq. Pada awalnya, Muna Bella membaca diari yang ditulis Syafiq dalam nada bersahaja sebelum mula sebak apabila mengetahui lelaki itu telah dibuang keluarga atas kekurangan diri.
Ekoran ini, ramai yang bersimpati dengan nasib yang dialami Syafiq. Pada masa yang sama, netizen turut bertanya kemanakah ahli keluarga Syafiq selama ini.
View this post on Instagram
Artikel berkaitan: “Saya sedih semua orang benci saya” – Hampir 7 Tahun Tak Berjumpa, Lelaki OKU Luah Rindu Keluarga
3. Ustaz Don mohon maaf, sekali lagi dikecam lepas keluarkan kenyataan bercanggah
Pendakwah selebriti, Ustaz Don Daniyal Don Bijayid sekali lagi menjadi tumpuan selepas didakwa mengeluarkan kenyataan mengenai puasa pada hari kedua, ketiga dan keempat Aidiladha.
Dalam sebuah rancangan radio, Ustaz Don memaklumkan salah satu waktu yang tidak boleh berpuasa ialah pada hari raya pertama sama ada pada hari raya Aidilfitri atau Aidiladha.
Perkara itu telah menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen, malah pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga telah memuat naik hantaran mengenai haram berpuasa pada hari-hari Tasyrik.
Susulan itu, Ustaz Don menerusi satu hantaran di Instagram telah membuat permohonan maaf dan mengakui kekhilafannya atas kekeliruan tersebut. Jelasnya, soalan itu ditanya tentang puasa pada hari pertama Aidiladha dan jawapan yang diberikan mengikut pertanyaan tersebut tidak dihurai panjang lebar.
Artikel berkaitan: “Saya mohon maaf” – Didakwa Benarkan Puasa Hari Tasyrik, Ustaz Don Beri Penjelasan
4. Suami belasah isteri lepas kantoi curang?
Tular sebuah video seorang suami didakwa berlaku curang dengan isterinya namun selepas ‘terkantoi’, dia bertindak memukul isterinya itu dengan sangat teruk.
Menurut laporan Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pada jam 3 petang, pihaknya mendapat maklumat mengenai video tular berdurasi 0:31 saat di media sosial memaparkan pasangan berusia 37 dan 38 tahun bergaduh di sebuah hotel.
Difahamkan, lelaki tersebut bertindak agresif selepas isterinya mendedahkan dia bermalam di sebuah hotel yang terletak di Port Dickson.
Lebih menyedihkan, isteri yang malang itu dikatakan baru sahaja habis berpantang dan terus pergi ke bilik lelaki berkenaan sebelum terjadinya pergaduhan.
Artikel berkaitan: “Sanggup kau bang” – Isteri Dipukul Lepas Suami Didakwa Kantoi ‘Check-In’ Dengan Perempuan Lain
5. Nora Danish dan Nedim Nazri sah bercerai
Selepas mengaku tidak lagi tinggal sebumbung pada April lalu, Nora Danish dan Nedim Nazri akhirnya bersetuju untuk berpisah cara baik dalam prosiding yang diadakan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, kelmarin.
Nedim telah melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada jam 8.34 malam.
Menerusi temubual selepas selesai prosiding, Nora berkata, dia sangat mengharapkan orang ramai dapat mendoakan yang terbaik buat mereka sekeluarga. Manakala Nedim, melalui Instagramnya mengatakan bahawa tiada apa perubahan yang berlaku ke atas keluarganya melainkan Nora kini bukan lagi miliknya.
Untuk info, Nora Danish dan Nedim Nazri telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2017 yang lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata. Mereka masing-masing juga mempunyai seorang anak dari perkahwinan sebelumnya.
Artikel berkaitan: “Dia bukan milikku dalam Islam” – Nedim Luah Perasaan Lepas Sah Bercerai Dengan Nora Danish