Selepas lebih lima tahun dunia bergelut dengan Covid-19 yang mana kes pertamanya dilaporkan di China, negara Asia Timur ini dikatakan sekali lagi berdepan dengan ancaman satu lagi virus yang menyerang sistem pernafasan iaitu metapneumovirus (hMPV).
Virus hMPV yang semakin menular ini menyebabkan lonjakan kes berlaku ketika pertengahan Disember lepas. Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia bertindak memberi amaran tentang wabak tersebut dan menekankan tentang langkah penjagaan kebersihan.
Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan (CDC) di Beijing turut menetapkan protokol untuk pelaporan makmal dan pengesahan kes bagi meredakan kebimbangan orang ramai.
Data pada 16 hingga 22 Disember menunjukkan peningkatan jangkitan pernafasan akut termasuk hMPV terutamanya di wilayah utara China. Kes baru-baru ini kebanyakannya melibatkan golongan berusia di bawah 14 tahun,” lapor Reuters.
Artikel berkenaan: Kementerian Luar Malaysia Siasat Nota Diplomatik China Yang Tular
Artikel berkenaan: Diumumkan Sebagai Wabak 3 Tahun Lalu, WHO Isytihar Covid-19 Bukan Lagi Kecemasan Global
Batuk, demam, hidang tersumbat, nafas bunyi seperti wisel
CCTV pula mengesahkan jangkitan pernafasan yang menyerang pada musim sejuk kali ini berpunca daripada virus influenza selain hMPV sebagai penyumbang utama kes.
Pada hujung bulan lalu, pihak berkuasa kawalan penyakit di Beijing turut merintis sistem pemantauan untuk masalah radang paru-paru tidak diketahui asal usulnya setelah peningkatan luar biasa kes sepanjang musim sejuk.
Antara gejala penyakit:
- batuk
- demam
- hidung tersumbat
- nafas berbunyi seperti wisel
Bagi kes yang teruk, pesakit boleh mengalami bronkitis atau radang paru-paru terutamanya di kalangan bayi, warga emas dan golongan yang mempunyai sistem imun yang lemah.
Golongan yang menghidap asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) atau emfisema iaitu keadaan pundi udara dalam paru-paru mengembang sehingga individu sukar untuk bernafas adalah yang paling berisiko tinggi.
Virus tersebut menular melalui titisan atau aerosol disebabkan batuk atau bersin dan kontak rapat atau terdedah kepada persekitaran yang tercemar.
“Tempoh inkubasi adalah dari tiga hingga lima hari,” jelas CDC China lagi.
Susulan peningkatan kes, pakar memberi amaran tentang penggunaan ubat antiviral secara sembarangan untuk merawat hMPV.
Pakar pernafasan di hospital Shanghai menasihatkan orang ramai supaya tidak secara melulu menggunakan ubat antiviral untuk merawat hMPV memandangkan ia mempunyai gejala serupa seperti diserang selesema.
Setakat ini, tiada vaksin spesifik atau rawatan antiviral tersedia untuk pesakit dan fokus utama merawat pesakit adalah bagi mengurangkan simptom mereka.
Awal-awal tahun dah bikin debar ye. Apa-apapun jagalah kesihatan masing-masing, amalkan penjagaan kebersihan diri dan pakai pelitup muka di tempat yang sesak.
Sumber: Sinar Harian