Selepas video orang ramai berkerumun berkelah di sungai baru-baru ini, timbul lagi satu perkara yang telah mendatangkan kemarahan warganet apabila melihat foto banyak sampah sarap di sungai tempat orang beriadah.
“Mentaliti orang Malaysia. Sedih.”
Foto itu memperlihatkan sampah dikumpulkan ke satu tempat dan dibiarkan bertimbun di bawah pokok bahkan ada juga pinggan dan cawan plastik berselerak dari kawasan tepi sehingga ke air aliran sungai.
Malah, plastik sampah juga dilonggokkan di celah-celah batu. Jika dilihat, ada pihak mendakwa bahawa lokasi sungai tersebut adalah sungai sama yang viral pada minggu lepas.
Foto ini viral sehinggakan meraih 4.5K jumlah retweets di Twitter dalam masa 22 jam ia dimuat naik.
Biarpun maklumat sahih mengenai waktu dan lokasi kejadian ini masih belum diketahui, ramai netizen mengutuk tindakan meraka yang melakukan perbuatan ini dengan meluahkan rasa marah dan jelek dengan sikap yang dianggap mementingkan diri sendiri.
Dalam pada itu, ramai juga yang bimbang bahawa ia boleh menjadi faktor penyumpang kepada jangkitan Leptospirosis atau lebih mudah dengan panggilan ‘kencing tikus’ yang boleh membawa maut dan ia membuatkan pengunjung jadi takut untuk beriadah di kawasan tersebut kelak.
Lepak nak, buang sampah tak nak – Netizen
Ramai juga yang meminta pihak berkuasa untuk lebih tegas bagi membendung perkara ini.
Minggu lepas, viral video memperlihatkan orang ramai berkerumun untuk berkelah di Sg Pisang tanpa menjaga SOP. Ia menimbulkan kemarahan ramai pihak kerana bimbang kes jangkitan Covid-19 di negara ini akan meningkat semula.