Siapa sangka, seorang lelaki berusia 55 tahun bertindak menipu hampir 50 wanita menggunakan laman web cari jodoh. Bagaimanapun, kes ini difahamkan berlaku di India dan bukan di negara kita.
Pada Jumaat lalu, pihak berkuasa di negara berkenaan memberitahu mangsa mengalami kerugian jutaan rupee selepas mengahwini suspek dalam tempoh 20 tahun.
Suspek dikenali sebagai Tapesh itu yang berasal dari Jamshedpur, berjaya diberkas polis Gurugram dari Odisha, Khamis lalu.
Kali pertama suspek berkahwin adalah pada 1992 di Kolkata dan dia mendapat dua anak perempuan hasil perkahwinan itu.
Namun suspek menghilangkan diri pada 2000, meninggalkan isteri dan anak perempuannya.
Polis berkata, berdasarkan kes difailkan seorang wanita di Gurugram, baru-baru ini, mangsa mendakwa bertemu suspek melalui aplikasi cari jodoh sebelum mereka berkahwin.
Namun, selepas tiga hari berkahwin, lelaki tersebut menipu wanita itu sebanyak dua juta rupee (kira-kira RM111,927) termasuk mengambil barang kemas mangsa.
Semasa dalam siasatan, polis mendapat tahu bahawa dalam masa sama, tertuduh pergi ke Bangalore dan membuka agensi penempatan pekerjaan bernama ‘Smart Hire Solution’.
Menerusi agensi itu, suspek pernah menipu remaja lelaki dan perempuan dengan muslihat menawarkan peluang pekerjaan.
Tetapi apabila penipuan itu terbongkar, suspek mula berkawan dengan wanita berstatus janda dan isteri orang menerusi aplikasi Shaadi.
Kebanyakan hubungan adalah dengan wanita pertengahan umur.
“Suspek kini ditahan di pusat rawatan penagihan dadah di Odisha. Dia akan dibawa ke dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.
Sumber: Harian Metro
Baca: Pasangan Pernah Curang? Kajian Buktikan Mereka Selalunya Tak Rasa Bersalah!