“Rancangan dan cara yang digunakan oleh suspek menjadikan kes ini termasuk dalam kategori rarest of rare.”
Begitulah kata-kata pendakwa raya susulan kes dimana seorang lelaki di India tergamak membunuh isterinya sendiri dengan sengaja melepaskan ular tedung berbisa untuk mematuknya.
Lapor New York Post, suspek yang dikenal pasti sebagai Sooraj Kumar, 28, telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah tempatan selepas didapati bersalah membunuh isterinya, Uthra, 25, pada bulan Mei 2020.
Menurut pendakwa raya kes, Sooraj yang bekerja sebagai pegawai bank difahamkan tidak gembira dengan perkahwinannya dengan mangsa. Pun begitu, suspek tidak mahu bercerai susulan dia akan dipaksa untuk memulangkan semula hantaran perkahwinan mereka termasuklah sebuah kereta baru dan wang tunai bernilai USD$20,000.
“Jika dia (Sooraj) menceraikan mangsa, dia harus berpisah dengan semua harta milik isterinya. Tapi, jika dia membunuh mangsa, dia juga akan kehilangan harta. Disebabkan itu, suspek memilih untuk membunuh mangsa dengan cara yang nampak seperti kemalangan yang tak dapat dielakkan,” kata Hariram Shankar, assistant superitendent polis Kerala.
Pernah guna taktik sama cederakan isteri sampai terlantar

Menurut sumber, Sooraj mula merancang melakukan kerja terkutuk itu pada awal Mac lalu dengan sengaja melepaskan ular berbisa jenis Russell’s viper ke dalam kamar tidur mangsa. Bagaimanapun, isterinya itu terselamat namun terlantar selama dua bulan di hospital.
Ketika sedang berehat di rumah orang tuanya selepas keluar dari hospital, Sooraj dikatakan sekali lagi mula merancang menggunakan taktik sama untuk membunuh isterinya, tapi kali ini dengan menggunakan ular tedung.

Lebih kejam, untuk memastikan rancangannya kali ini benar-benar berjaya, suspek difahamkan tinggal di dalam bilik sama dan menyaksikan isterinya dipatuk ular berbisa berkenaan sebelum melalui harinya seperti biasa. Insiden yang menimpa Uthra akhirnya disedari keesokan harinya oleh ibu mangsa namun ia sudah terlambat.
Rancangan Sooraj itu bagaimanapun mula terbongkar selepas ibu bapa isterinya mula syak ada yang tidak kena selepas suspek cuba untuk mengambil alih semua harta milik mangsa sesudah kematiannya.
Selain Sooraj, seorang pengendali ular yang hanya dikenali sebagai Suresh turut diberkas pihak berkuasa kerana membekalkan dua ular berbisa yang digunakan Sooraj dalam pembunuhan Uthra.
Sumber: New York Post
Baca: “Kalau aku, sebulan tak berak” – Lelaki Terjumpa Ular Tedung Besar Menyorok Dalam Jamban