Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seorang lelaki warga Singapura bertindak di luar kawalan apabila terlibat dalam satu pergaduhan di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pagoh dengan menggunakan tongkat kayu.
Hari ini, Majistret Fatin Dalilah Khalid menjatuhkan hukuman denda RM5,500 ke atas Soh Kian Hui, 45, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, pemandu teksi Singapura itu didakwa dengan niat memecahkan cermin kereta Toyota Fortuner milik Khairul Husni Shah Jamil, 31, hingga menyebabkan kerugian RM2,502.35.
Kejadian berkenaan difahamkan berlaku pada 10 Februari lalu pada jam sekitar 1.58 tengah hari.
Hukuman bagi kesalahan ini juga tertuduh boleh dipenjara sehingga 5 tahun atau didenda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Artikel berkaitan: “Kalau kena kepala ni bocor” – Penduduk Kondo Melampau, Baling Seterika Dari Tingkat Atas Sampai Pecah Cermin Kereta
Artikel berkaitan: Pemilik Kereta Singapura Isi Minyak Kuning, Siap Mengaku Dirinya Orang Malaysia
Pecah cermin kereta sebab bengang dihalang guna lorong kecemasan
Menurut fakta kes, tertuduh bertindak memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan tongkat kayu kerana berasa tidak puas hati apabila kenderaannya dihalang daripada menggunakan laluan kecemasan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa sebenarnya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sebelum ternampak Mitsubishi Lancer milik tertuduh menggunakan laluan kecemasan.
Keadaan ini telah mencetuskan pertengkaran mulut dan tertuduh kemudian mengetuk cermin kenderaan mangsa sebelum meninggalkan tempat kejadian.
Soh kemudian ditahan di Genting Highlands, Pahang pada 12 Februari sekitar jam 3.30 pagi.
Haish macam-macamlah. Dah masuk negara orang silalah ikut peraturan.
Sumber: Harian Metro