Jaga barangan peribadi anda tak kira di mana pun anda berada!
Seorang wanita baru-baru ini menceritakan kejadian di mana beg tangannya dicuri tanpa sedar di sebuah pusat membeli belah. Beliau telah berkongsi cerita ini bersama rakan-rakan di Facebook dan sehingga hari ini post beliau telah mendapat 724ribu tontonan.
Kimmy Tung bersama suami dan anak-anaknya sedang makan di Sushi King di IPC Shopping Centre ketika kejadian itu berlaku pada 12 Disember yang lalu.
“Kami tidak sangka ianya akan berlaku kepada kami.
Saya kerap travel kerana bisnes, jadi ianya membuatkan saya sentiasa berwaspada dengan isu kehilangan barangan peribadi saya. Disebabkan itu, saya terapkan dalam diri saya untuk sentiasa meletakkan dompet di dalam beg tangan saya dan selalu pastikan ianya disandang di bahagian hadapan badan saya. Saya juga tidak akan keluarkan dompet atau buka beg saya di khalayak ramai.”
Namun, menurut Kimmy pada hari kejadian itu berlaku, beliau terlupa akan hal itu dan ternyata ianya menyebabkan begnya dicuri tanpa beliau sedari.
“Jarak antara setiap kerusi di restoran itu terlalu dekat dan anak saya berasa tidak selesa dengan keadaaan saya yang menyandang beg itu, kerana dia duduk bersebelahan dengan saya membuatkan saya terlupa dengan prinsip itu jadi saya letak beg yang mengandungi dompet, kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM itu di bahagian belakang kerusi.”
Di dalam rakaman CCTV pula menunjukkan pencuri tersebut berjalan melepasi tempat duduk mereka yang sedang membelek menu makanan ketika itu. Lelaki yang memakai kemeja berwarna putih, seluar hitam dan menyandang sebuah beg itu dilihat seolah-olah sedang mencari meja kosong di dalam restoran tersebut.
Namun, lelaki itu kemudian dilihat berpatah balik selepas melepasi keluarga Kimmy dan cuba pandang sekeliling untuk pastikan tiada siapa yang menjadi saksi perbuatan jahatnya itu.
“Kami tidak menyedari beg saya dicuri sehinggalah ketika mahu membayar bil. Daripada video yang dirakamkan dari CCTV restoran itu, kami nampak lelaki itu berpura-pura mencari tempat duduk di dalam restoran itu dan mencuri beg saya semasa sedang berjalan untuk keluar dari situ.”
“Ianya berlaku kurang daripada satu minit dan ketika itu kami masih sedang memikirkan tentang makanan yang ingin dipesan.
Anak saya yang berusia 3 tahun itu dalam ketakutan ketika kami memberitahu tentang hal yang terjadi dan kami turut menunjukkan video rakaman CCTV itu kepadanya. Kami simpati dengannya kerana terdedah dengan kejahatan dalam realiti hidup yang sebenar pada usia yang masih mentah.”
“Bagaimanapun, saya berasa lega kerana ‘target’ lelaki itu adalah beg saya dan bukan anak-anak kami.”
Netizen yang menonton video rakaman CCTV ini turut berkongsi pengalaman mereka menjadi mangsa kecurian.
“Saya juga pernah menjadi mangsa penyeluk saku, malah mukanya jelas dilihat di CCTV. Saya laporkan kepada polis dan mereka berkata siasatan akan dijalankan tetapi sehingga kini tiada respon yang saya terima. Tidak hairanlah mengapa pencuri seperti ini semakin berani mencuri meskipun di tempat yang mempunyai CCTV.” komen seorang netizen
“Telefon bimbit anak saya juga dicuri semasa di IPC Book Fair tahun lalu.” komen seorang lagi
Lihatlah betapa mudahnya kes kecurian boleh berlaku. Jangan dedahkan barangan peribadi anda tidak kira di mana sahaja. Pastikan anda tidak lalai dan sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling kerana tiada siapa tahu di mana dan bila ia akan berlaku.
Tonton video rakaman CCTV di bawah :
https://www.facebook.com/kimmy.tung/videos/10154133094617006/