Mentaliti masyarakat Malaysia selalunya beranggapan bahawa Orang Kurang Upaya (OKU) terbatas keupayaannya dan tidak mampu melakukan aktiviti yang lasak-lasak. Namun, seorang lelaki OKU di Kuala Lumpur ini menunjukkan yang sebaliknya apabila dia berupaya mendaki puncak gunung Annapurna di Nepal walaupun dengan menggunakan kaki palsu!
Menurut Harian Metro, lelaki kelahiran Melaka yang dikenali sebagai Muhamed Nazmi Muhamed Hanafi, 24, telah membuktikan bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kehilangan kaki kiri hingga paras betis akibat terbabit dalam kemalangan ketika menunggang motosikal di Kajang lima tahun lalu ternyata memberikan kesan kepada Nazmi yang mengakui pernah berputus asa dan berasa rendah diri selepas insiden tersebut.
Terlantar di hospital selama dua bulan dan terpaksa menjalani pembedahan sebanyak tujuh kali termasuk suntikan tulang belakang, Nazmi mula memakai kaki palsu selepas terlibat dalam kemalangan tersebut, lapor Malaysia Gazette. Bekerja sebagai seorang operator pusat panggilan, anak kedua dari tujuh beradik itu akur bahawa bukan mudah untuk mencari semula kekuatan apabila pergerakannya tiba-tiba terbatas.
Nazmi yang dipilih mengikuti misi pendakian ke Kem Induk Annapurna di Nepal bersama pendaki-pendaki lain pada 20 Oktober hingga 2 November lalu berkongsi cerita ketika dia mengimbas semula kenangan lama ketika mendaki bersama rakan dan menjadikan perasaan seronok sebaik tiba di puncak gunung sebagai sumber kekuatan untuk meneruskan hidup.
“Dari situ, saya mendapatkan kekuatan untuk bangkit dan syukur Alhamdulillah, saya berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan diri yang sekarang.”
Misi yang digelar Road to Annapurna Base Camp (R2ABC) itu menyaksikan 29 pendaki dari Pertubuhan Nadi Sihat menawan gunung yang ke-10 tertinggi di dunia, lapor ThoughtCo. Menurut Everest News, Puncak pertama Annapurna dengan ketinggian 8000 meter juga dikatakan antara puncak paling digeruni di dunia!
“Saya menggunakan kaki palsu untuk memudahkan bergerak namun tidak seperti dulu kerana pergerakan terbatas memandangkan tidak boleh berlari seperti orang lain.”
Berbekalkan keazaman dan kecekalan yang tinggi, Nazmi berjaya mendaki Annapurna hingga ke puncak walaupun menggunakan kaki palsu. Kejayaan Nazmi menawan Annapurna mendapat perhatian Malaysia Book of Record dan bakal dinobatkan sebagai OKU Malaysia pertama yang menawan Annapurna Base Camp, lapor Malaysia Gazette.
Sehingga hari ini, Nazmi telah berjaya menawan 20 puncak gunung termasuklah Gunung Kinabalu, Gunung Datuk, Gunung Besar Hantu, dan Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia. Wah, dasyat sungguh!
Bukan calang-calang orang boleh mendaki gunung ni. Manusia yang sempurna anggota badan pun belum tentu dapat daki sampai ke puncak. Kecekalan Nazmi yang bangkit semula walaupun telah kehilangan sebelah kaki ini sangat elok kita jadikan teladan.
Baca: Buta Kedua Belah Mata dan Hidap Mild Autisme Namun Anak Kecil Ini Berjaya Hafal Surah Yasin Seawal 3 Tahun