Setiap rumah tangga mempunyai pasang surutnya dan apa yang membezakan adalah bagaimana pasangan itu menyelesaikan masalah serta pertengkaran di antara mereka. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.
Namun, pertengkaran yang berlaku di antara suami isteri dari Muar ini berakhir dengan tragedi. Menurut Awani, seorang remaja berusia 18 tahun ditahan selepas menikam suaminya di Taman Pertama Indah, Sungai Abong Sabtu lalu.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Mohd Firdaus MD Salehuddin, 28, dilaporkan maut ditikam isteri di rumah persinggahannya.

Difahamkan mangsa yang bekerja sebagai pemotong ayam di Pasar Besar, Muar tidak pulang ke rumah mereka di Parit Bunga, Tangkak selama dua hari dan ketika kejadian, Mohd Firdaus berada di rumah persinggahan itu yang juga merupakan stor penyimpanan barangan tempatnya bekerja.
Suspek yang tidak berpuas hati bagaimanapun datang menyerang mangsa di lokasi tersebut sebelum berlaku pertelingkahan dan pergelutan di antara mereka berdua.
Dia kemudian menikam suaminya menggunakan pisau pemotong sayur di bahagian dada kanan sebelum membuang senjata itu ke longkang di tepi rumah.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, Mohd Firdaus disahkan meninggal dunia dengan hanya satu tikaman menggunakan senjata bersaiz kira-kira 21 sentimeter itu.
“Senjata kami telah rampas, walau bagaimanapun senjata terpaksa kami bawa ke post mortem untuk pathologist, iaitu sebilah pisau memotong sayur 21sm dan kecederaan yang kami nampak hanya satu tikaman di bahagian dada kanan.”


Ekoran insiden itu, polis telah menahan suspek yang dikenali sebagai Dayah dan pakaian yang digunakan remaja berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.
Suspek yang juga bekerja sebagai peniaga makanan di pasar malam dan pasar tani dilaporkan telah mengaku menikam suaminya selepas berlaku pertelingkahan dan pergelutan.

Ibu mangsa, Rohani Sharif, 57, ketika ditemuramah memaklumkan bahawa menantunya itu ada menghubunginya untuk bertanya tentang anaknya kerana sudah dua hari tidak pulang ke rumah. Namun, dia tidak menyangka pertanyaan itu bertukar tragedi hingga menyebabkannya kehilangan seorang anak.

Jenazah Mohd Firdaus dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar dan suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membolehkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sebab itu pentingnya perbincangan dan komunikasi di antara suami isteri. Bermacam perkara boleh berlaku di saat seseorang itu marah atau terganggu emosinya.
Baca: Lelaki Tembak Mati Isteri di Bahagian Kepala Kerana Lambat Sediakan Makan Malam