Baru-baru ini, kecoh apabila seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut terjatuh daripda Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) selepas mangsa cuba mengelak motosikal yang melawan arus dalam satu kejadian.
Terbaharu, seorang lelaki warga tempatan yang disyaki menunggang motosikal melawan arus di Lebuhraya SUKE sehingga menyebabkan kemalangan maut, tampil menyerah diri di Balai Polis Trafik Kajang, pada Jumaat lalu.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata suspek merupakan seorang peniaga makanan berusia 41 tahun dan kini menetap di Kajang.
Hasil siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang pada hari kejadian, namun telah tersesat jalan. Suspek membuat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan.
Menurut laporan, suspek turut mengalami kemalangan selepas bergeser dengan motosikal mangsa. Selepas daripada kejadian itu, suspek terus pulang ke rumah.
“Akibat pergeseran dengan motosikal mangsa, suspek juga terjatuh dari motosikalnya dan selepas kemalangan terbabit suspek terus pulang ke rumah.
“Suspek hanya mengetahui kes berlaku setelah menonton berita di televisyen dan hebahan di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek turut membuat laporan polis berhubung kemalangan tragis tersebtu. Pemeriksaan terhadap suspek mendapati dia mengalami kecederaan patah di bahagian bahu kanan, patah jari kelingking serta luka di bahu kiri dan kaki kanan akibat kemalangan itu.
Pihak polis telah merampas motosikal jenis Yamaha dan beberapa barang kes lain. Enam rakaman percakapan saksi termasuk suspek telah direkodkan dan kedua buah motosikal terlibat akan dihantar ke Puspakom dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.
Bagaimanapun, tangkapan tidak dibuat ke atas suspek memandangkan kondisinya dalam keadaan cedera parah dan sukar bergerak. Prosedur lanjut akan dilakukan selepas keadaan suspek kembali stabil.
Kredit: Astro Awani
BACA: “Langsung tak cuba minta maaf” – Anak Mangsa Kemalangan SUKE Terkilan Suspek ‘Lari’