Seorang penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Rembau selepas mengaku bersalah sengaja menceroboh rumah pelakon dan pengacara Ahmad Nabil Ahmad atau lebih dikenali sebagai Nabil.
Menurut laporan Berita Harian, tertuduh Fadzril Aqmal Abdul Anif berusia 31 dari Rembau mengaku salah atas perbuatan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Kartini Kasran.
Difahamkan, tertuduh melakukan perbuatan menceroboh tersebut pada jam 7.50 malam, 4 Januari 2022 di Kampung Senama Tengah, Rembau.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Sekyen 442 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan, Majistret turut memerintahkan lelaki itu dipenjara selama 10 bulan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah masuk ke dalam rumah berkenaan secara menolak pintu dengan kuat, selain makan, berehat dan tidur di dalam rumah berkenaan.
Adik kepada Nabil yang ditugaskan untuk menjaga kediaman itu bergegas memeriksa kediaman tersebut sebaik dimaklumkan mengenai rumah itu diceroboh dan mendapati kejadian itu adalah benar.
Hasil pemeriksaan menemukan sehelai baju t-shirt, tiga helai seluar track dan sepasang kasut serta ditemui juga MyKad milik tertuduh di dalam poket trak suit yang ditemui itu.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam bela.
Baca : “Jangan nak jatuhkan level lah” – [VIDEO] Mas Idayu ‘Tepek’ Nabil Lepas Cadang Masuk GV10