Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei lepas, kes kemalangan semakin banyak dilaporkan. Perkara itu menyebabkan berlakunya peningkatan kes kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya, lapor Berita Harian.
Melalui sidang media, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan itu berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.
“Jumlah kes kemalangan jalan raya ketika PKP fasa satu daripada 18 Mac hingga 31 Mac lalu, adalah 5,498 kes dengan 58 kematian. Ini bermakna kadar kemalangan sehari adalah 392.7 kes.”
“Jika dibandingkan, jumlah ini naik mendadak kepada 738 kemalangan sehari semasa PKPB mula berkuat kuasa pada 4 Mei lalu kerana data polis menunjukkan sejak 5 Mei hingga 12 Mei lalu, jumlah kemalangan jalan raya adalah sebanyak 5,904 kes.”
Daripada 13 Mei sehingga semalam, sebanyak 25,251 kes kemalangan direkodkan dengan 231 kematian.”
Perkara ini membimbangkan kerana selain kehilangan nyawa dan kecederaan, kemalangan juga boleh menjadi punca peningkatan penggunaan fasiliti kesihatan untuk rawatan seperti kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Kemalangan.
“Keadaan ini juga menyebabkan peningkatan kes pembedahan kecemasan dan separa kecemasan yang menyebabkan penggunaan katil dan Unit Rawatan Rapi (ICU) turut meningkat.”
“Bekalan darah juga akan meningkat bagi merawati kes kemalangan yang menyebabkan kecederaan yang parah dan memerlukan transfusi darah.”
Sebelum ini statistik awal bagi kemalangan dan trauma yang dirawat di hospital menunjukkan penurunan di antara 65 hingga 75 peratus bagi semua negeri ketika pelaksanaan PKP. Namun, jumlah itu meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh PKPB memandangkan lebih banyak kenderaan yang sudah dibenarkan berada di jalan raya.
“KKM prihatin dan mengambil berat tentang keselamatan orang ramai terutamanya golongan pekerja yang semakin ramai berulang alik ke tempat kerja susulan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial.”
“Peningkatan kadar ini adalah amat merisaukan memandangkan ia dijangka terus meningkat susulan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.”
Drive safe korang! Especially bila hari hujan, jalan licin. Ingat orang orang tersayang yang nantikan kepulangan kita setiap hari!
Baca: Kemalangan Angkara Pemandu Mabuk Paling Dahsyat Dalam Sejarah, 27 Terkorban