Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa Bahasa Melayu tidak boleh dipertikaikan sebagai bahasa utama negara dan menjadi asas penting dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Seri Paduka Baginda bertitah, sesiapa sahaja yang tidak menerima Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seharusnya tidak menetap di Malaysia.
Menurut baginda, sebarang cadangan untuk mengiktiraf atau memperkenalkan sistem pendidikan lain perlu selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, selain wajib menerima penggunaan Bahasa Melayu serta pengajaran sejarah Malaysia.
Artikel berkaitan: YDPA Berkenan Tandatangan Akta Antibuli 2026
Artikel berkaitan: Yang di-Pertuan Agong Titah Semua Masjid Dan Surau Di Johor Laksana Solat Hajat & Doa Selamat

“Sebarang sistem pendidikan baharu yang ingin diwujudkan hendaklah mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan. Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia merupakan Bahasa Kebangsaan.
Oleh itu, apa jua usul untuk mengiktiraf sistem pendidikan lain mestilah menerima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia. Jika ada pihak yang tidak menerima Bahasa Melayu, lebih baik mereka tidak tinggal di Malaysia,” titah baginda.
Titah tersebut disampaikan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 yang berlangsung di Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menegaskan bahawa sistem pendidikan negara perlu terus diperkasa sebagai medium pembinaan bangsa, pembentukan jati diri serta penentu masa hadapan negara.
Selain menyentuh isu pendidikan, Seri Paduka Baginda turut menyeru agar kawalan terhadap penggunaan teknologi diperkukuhkan bagi membendung kegiatan penipuan yang semakin berleluasa dan boleh menggugat ketenteraman awam.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap ancaman jenayah berat, keganasan serta perbuatan yang menyentuh isu sensitif melibatkan ‘3R’ iaitu kaum, agama dan institusi diraja, yang perlu ditangani secara tegas dan berkesan.
Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah bahawa undang-undang berkaitan keselamatan negara serta ancaman luar wajar digubal dan dikuatkuasakan dengan segera bagi memastikan keharmonian antara kaum dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Sumber: Kosmo!
