Dua buah kilang pemprosesan kicap dan sos cili di daerah Timur Laut, Pulau Pinang diarah tutup susulan penemuan najis tikus di sekitar premis.
Menurut laporan Berita Harian, notis penutupan terbaru dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kepada kedua-dua kilang kicap dan sos berusia lebih 120 tahun itu bukan kali pertama, sebaliknya premis itu pernah diberi arahan sama sebanyak tujuh kali dalam tempoh 10 tahun ini.
Artikel berkaitan: Selepas Diserbu, Kilang Edar Stoking Tulisan Kalimah Allah Tutup Operasi
Artikel berkaitan: Netizen Kembang Tekak Lepas Tengok Ada 6 Ekor Cicak Dalam Botol Kicap
Apa yang menjijikkan, pasukan penguatkuasaan kesihatan terhadap kilang di Jalan Patani itu mendapati kacang soya yang diperap dalam bakul, diletakkan di atas lantai di hadapan tandas dan bilik air.
Malah turut ditemukan najis tikus dalam stor penyimpanan bahan mentah dan rak barangan, manakala di rak simpanan sos cili pula ditemukan perangkap tikus serta persekitaran yang tidak memuaskan.
Seorang pekerja kilang tersebut yang berusia 60-an berkata pemilik kilang kini berada di luar negara dan dia baru enam bulan bekerja di situ.
“Saya bekerja bagi memastikan stok diberi kepada pelanggan dan tidak mencampuri urusan perniagaan di sini. Kicap, sos cili dan taucu yang diproses di sini hanya bagi pasaran negeri di utara,” katanya.
Sementara itu, kilang kedua di Jalan CY Choy turut ditemukan najis tikus berhampiran rak pemprosesan sos cili.
Lebih menjijikkan, pekerja lelaki di kilang itu tidak memakai baju ketika bertugas, malah lokasi perapan kicap dan sos cili juga berada dalam keadaan tidak memuaskan.
Pemilik premis yang enggan dikenali berkata, kicap, sos cili dan cuka yang diproses secara tradisional itu dipasarkan di sekitar Pulau Pinang dan sering dijadikan ole-ole pengunjung.
Sumber: Berita Harian