Baru sahaja kita dikejutkan dengan kes kemalangan maut membabitkan bas yang membawa mahasiswa dari UPSI, semalam terjadi lagi kes kemalangan yang melibatkan bas persiaran.
Menurut Sinar Harian, dua lelaki disahkan maut manakala 16 yang lain cedera selepas bas persiaran yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan lori tunda jenis Volvo dan lori tangki di Kilometer 80.7 Lebuhraya PLUS arah selatan, awal pagi Khamis.
Bas berkenaan difahamkan membawa 46 penumpang yang terdiri daripada 44 lelaki dan dua wanita.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan (PBK II) Md Isa Masngun berkata, pihaknya bersama BBP Yong Peng bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 12.44 tengah malam.
Artikel berkaitan: JPJ Wajibkan Penumpang Bas Ekspres & Persiaran Untuk pakai Tali Pinggang Keledar Berkuatkuasa Selasa Ini
Artikel berkaitan: JPJ Bongkar Senarai Syarikat Bas Ekspres & Pengendali Kenderaan Dengan Saman Tertinggi
Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi, didapati dua penumpang lelaki bas berusia 43 dan 44 tahun tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian.
“14 penumpang lelaki, seorang penumpang wanita serta pemandu bas cedera, sementara selebihnya iaitu 27 penumpang lelaki dan seorang wanita tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurut laporan, pemandu lori tunda yang berusia 42 tahun dan pemandu lori tangki berusia 33 tahun terselamat.
Pihak bomba difahamkan telah menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM dan dibantu jentera EMRS bagi rawatan lanjut. Operasi kemudian dikawal sepenuhnya pada jam 3.02 pagi.
Makin lama makin risau dengan keselamatan ketika di jalan raya. Semoga kita sentiasa dilindungi.
Sumber: Sinar Harian