Korang tahu tak apa itu UNRWA? Ia merupakan agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu pelarian Palestin dan merupakan talian hayat untuk dua juta rakyat yang terkepung di Gaza.
Tapi baru-baru ini, agensi ini telah terkesan dengan tindakan beberapa negara yang telah menghentikan pemberian dana selepas Israel telah menuduh beberapa pekerja UNRWA telah terlibat dalam serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.
Sabtu lalu, PBB mengatakan yang mereka telah pun memecat seramai sembilan dari 12 pekerjanya atas tuduhan tersebut dan berjanji akan menyiasat perkara ini namun pada masa yang sama turut terkejut dengan penghentian dana dari beberapa negara barat ketika rakyat Gaza sedang sengsara akibat serangan tanpa henti dari Israel selama lebih empat bulan.
Artikel berkaitan: Konflik Israel-Palestin: Ini Semua Korang Perlu Tahu Tentang Konflik Terpanjang Di Dunia
Artikel berkaitan: Ini 22 Negara Yang Nyatakan Sokongan Penuh Pada Palestin
Ini apa yang korang perlu tahu tentang kontroversi yang sedang berlaku ini:
Apa itu UNRWA dan siapa yang berikan sumbangan?
UNRWA telah ditubuhkan pada 1949 untuk memberi bantuan kepada ribuan rakyat Palestin yang telah dihalau dari rumah mereka oleh militan Yahudi dari kawasan-kawasan yang kini telah menjadi sebahagian daripada Israel.
Agensi ini beroperasi di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Gaza serta beberapa negara jiran seperti Jordan, Lebanon dan Syria yang menjadi tempat beberapa pelarian berlindung selepas rumah mereka dirampas.
Beberapa bantuan yang diberikan oleh agensi ini termasuklah pendidikan rendah dan vokasional, penjagaan kesihatan utama, bantuan dan perkhidmatan sosial, penambahbaikan infrastruktur dan kem, kewangan mikro, dan bantuan kecemasan.
UNWRA ini telah menerima hampir keseluruhan sumbangan dari sumbangan sukarela selain subsidi terhad dari PBB yang digunakan secara eksklusif untuk kos pentadbiran. Sumbangan terbesar yang diterima oleh agensi ini adalah daripada Amerika Syarikat, Jerman dan Kesatuan Eropah.
Jadi, agak mustahil untuk agensi ini menjalankan kerja-kerja bantuan tanpa sumbangan dari negara-negara ini.
Lebih menyedihkan, menurut bekas jurucakap UNRWA, Chris Gunnes, agensi ini hanya ada beberapa minggu sebelum dana mereka habis untuk membantu menyelamatkan nyawa rakyat Palestin di Gaza. Malah, lebih dari 26,000 rakyat Palestin telah dibunuh akibat serangan Israel sejak 7 Oktober.
Mesej saya untuk negara-negara Arab tertamanya Gulf, di mana anda? Mereka dapat untung berbilion setiap hari dari minyak. Sebahagian kecil dari keuntungan itu boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh UNRWA dalam sekelip mata. Mereka boleh gantikan semula duit yang dihentikan oleh negara-negara barat ini dengan mudah.
Orang-orang di Timur Tengah kini sedang mengalami kebuluran yang dahsyat dan negara-negara Arab ini perlu bangkit untuk membantu.”
Tuduhan Israel terhadap pekerja UNRWA
Pihak berkuasa Israel dikatakan telah memberi maklumat mengenai beberapa pekerja UNRWA yang dikatakan terlibat dalam serangan pada 7 Oktober lalu.
Selepas mendapat maklumat tersebut, ketua UNRWA telah menghentikan kontrak-kontrak pekerja yang terlibat serta terus melancarkan siasatan untuk mengetahui kebenaran.
Gunnes percaya, ini merupakan strategi Israel untuk mengalahkan Palestin malah mereka sendiri pernah berkata yang mereka tak boleh menang peperangan ini selagi UNRWA tidak dibubarkan.
Kepentingan UNRWA
UNRWA merupakan penyelamat kemanusiaan terbesar di Gaza, malah seramai 3,000 pekerjanya telah melaporkan diri untuk bekerja di Gaza walaupun berada di dalam zon perang.
Ini kerana, seramai dua juta dari 2.3 juta populasi di Gaza bergantung kepada operasi agensi ini dan memberikan perlindungan kepada lebih sejuta orang.
Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini mengatakan orang-orang di Gaza tidak memerlukan hukuman tambahan seperti ini dari negara-negara barat hanya kerana tindakan beberapa individu yang didakwa telah terlibat dengan Hamas.
UNRWA lifesaving assistance is about to end following countries decisions to cut their funding to the Agency.
Our humanitarian operation, on which 2 million people depend as a lifeline in Gaza, is collapsing. I am shocked such decisions are taken based on alleged behavior of a…
— Philippe Lazzarini (@UNLazzarini) January 27, 2024
Negara yang hentikan dana & negara yang teruskan bantuan
Penghentian dana kepada UNRWA ini telah dimulakan oleh Amerika Syarikat pada Jumaat lalu sejurus selepas siasatan tersebut diumumkan.
Kemudian pada hari Isnin, Kanada, Australia, Jerman, Itali, Netherlands, Switzerland, Finland, Estonia, Jepun, Austria dan Romania telah mengikut jejak langkah AS.
Hari ini, New Zealand pula mengumumkan bahawa mereka akan turut menghentikan pemberian dana kepada agensi ini.
Pun begitu, Ireland dan Norway telah menyatakan sokongan berterusan mereka untuk UNRWA dengan mengatakan agensi ini telah menjalankan kerja-kerja yang penting untuk membantu rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal dan sangat memerlukan bantuan di Gaza.
Sepanyol turut menegaskan yang mereka juga turut akan meneruskan sokongan memberikan dana kepada UNRWA di mana Menteri Luar, José Manuel Albares mengatakan bahawa yang dituduh hanyalah 12 dari 30,000 pekerja UNRWA.
Allahu, tak boleh brain betul macam mana negara-negara ni boleh tergamak sekat dana untuk bantu orang Palestin. Kejam!
Sumber: Al-Jazeera