Beberapa minggu lalu, dunia dikejutkan dengan berita nahas sebuah pesawat Korea Selatan, Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan yang telah mengorbankan 179 orang dengan hanya dua orang mangsa sahaja yang terselamat.
Kotak hitam pesawat tersebut telah pun ditemui dan ia telah dihantar untuk siasatan.
Walau bagaimanapun, pegawai penyiasat mendedahkan bahawa kotak hitam pesawat Jeju Air yang terlibat dalam nahas itu berhenti merakam 4 minit sebelum insiden tersebut berlaku, lapor CNN.
Menurut Kementerian Pengangkutan Korea Selatan, cockpit voice recorder (CVR) dan flight data recorder (FDR) dari pesawat Beoing 737-800 itu berhenti berfungsi kira-kira empat minit sebelum berlakunya insiden nahas berkenaan.
Artikel berkaitan: Kegagalan Fungsi Gear Pendaratan Pada Pesawat Mungkin Jadi Punca Nahas Jeju Air Di Korea
Artikel Berkaitan: “Perlukah saya tulis wasiat?” – Mesej Terakhir Salah Seorang Penumpang Sebelum Nahas Pesawat Jeju Air
Dalam satu kenyataan, kementerian tersebut juga menyatakan bahawa punca alat-alat itu berhenti merakam masih belum dapat dipastikan oleh pihak mereka.
Pihak mereka juga sedang giat untuk mengenalpasti mengapa perkara tersebut berlaku.
Ini kerana data CVR dan FDR adalah sangat penting untuk menyiasat kemalangan udara itu dan pihak kementerian itu sedang mencuba untuk mengenalpasti punca insiden tersebut.
Difahamkan, cockpit voice recorder (CVR) pesawat itu telah dianalis di Korea Selatan terlebih dahulu sebelum dihantar ke Amerika Syarikat.
Manakala perakam data penerbangan (FDR) dari kapal terbang itu pula telah dihantar ke AS minggu lalu untuk dianalisis selepas pihak berkuasa Korea Selatan menyatakan pihak mereka tidak berjaya mengekstrak data dari alat tersebut kerana ia mengalami kerosakan.
Proses siasatan untuk mengenal pasti punca insiden pesawat Jeju Air ini dijangka akan mengambil masa berbulan-bulan.
Sumber: CNN