Konvoi sekumpulan motosikal bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka maut ketika dalam perjalanan menyertai Himpunan RXZ Members 7.0 yang akan berlangsung di Terengganu, esok.
Mangsa merupakan seorang eksekutif jualan, Mohd Syukri Shahrudin, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan tangan.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata kejadian berlaku jam 6.30 pagi tadi ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha RXZ dari arah Rembau menuju ke Terengganu.
Artikel berkaitan: Santuni Anak Muda, Kehadiran UAI Ke Karnival RXZ Members 6.0 Buat Orang Ramai Terpegun
Artikel berkaitan: “Mentaliti apa ni?” – Ramai Kecewa Lihat Program Permotoran Di Terengganu Sebabkan Lambakan Sampah Sarap
“Siasatan awal mendapati, mangsa sepatutnya membelok ke kanan di simpang tiga, namun terus bergerak lurus sebelum melanggar tebing bahu jalan.
“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal ditunggang,” katanya.
Beliau berkata, keadaan jalan di lokasi berkenaan berturap baik, permukaan rata, kering serta pencahayaan jelas pada waktu siang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berkonvoi bersama kira-kira 60 motosikal lain dan antara peserta terawal yang berada di hadapan kumpulan itu.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bera untuk bedah siasat manakala motosikalnya akan menjalani pemeriksaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Sumber: Berita Harian