Ajaran sesat yang dibuat bertujuan untuk memesongkan pendirian agama seseorang ini telah lama wujud. Di Malaysia sendiri, banyak ajaran sesat yang masih lagi aktif sehingga kini walaupun ia telah diharamkan oleh kerajaan seperti Millah Abraham, Syiah, Al-Arqam@Rufaqa’ dan Qadiani@Ahmadiah.
Namun begitu, antara ajaran sesat yang paling popular dan pernah menjadi tumpuan media pada akhir tahun 90-an dahulu adalah Kerajaan Langit Ayah Pin yang dipercayai telah mempunyai pengikut seramai lebih 22,800 orang.
Untuk korang yang kurang tahu tentang kes ini, dekat bawah ni korang boleh baca beberapa fakta tentang ajaran sesat yang dibawa oleh Ayah Pin ini.
1. Ayah Pin dakwa dirinya wakil tuhan
Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Mohammed merupakan seorang Muslim yang dilahirkan di Kelantan sebelum menjadi terkenal selepas menubuhkan kumpulan ajarannya sendiri yang dipanggil “Kerajaan Langit”.
Ayah Pin telah menubuhkan kumpulan ini pada pertengahan tahun 1979 dan telah meraih pengikut selepas mendakwa bahawa dirinya merupakan wakil Tuhan dan boleh menjelma semula sebagai Shiva, Buddha, Jesus Christ dan Nabi Muhammad.
Pengikut-pengikutnya pula percaya bahawa Ayah Pin ini adalah Tuhan dan telah menerima wahyu dari langit.
2. Ajaran Kerajaan Langit
Pihak berkuasa percaya, salah satu sebab bagaimana kumpulan ajaran sesat pimpinan Ayah Pin ini boleh mendapat pengikut yang ramai ekoran tekanan yang diberikan olehnya terhadap keharmonian di antara kesemua agama yang ada. Menurutnya:
Semua agama adalah sama. Tuhan ajarkan rasa cinta. Dia adalah untuk sesiapa yang mahu tahu tentang dunia. Anda boleh pilih agama apa yang anda mahu.”
Ajarannya ini bukan sahaja dapat menarik orang Islam dari mengikutinya malah ia turut mendapat tempat di kalangan orang-orang agama lain. Dikhabarkan, Ayah Pin telah melawat beberapa kuil Hindu dan kumpulannya ini telah pun menerima satu kumpulan Kristian untuk mengikuti ajarannya.
3. Teko sebagai simbolik
Ajaran yang berpusat di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu ini turut mempunyai beberapa replika gergasi yang menjadi simbolik kepada Kerajaan Langit ini.
Antaranya adalah replika teko dan pasu setinggi dua tingkat dan payung kuning. Dikatakan replika ini telah menelan kos jutaan ringgit untuk dibuat. Teko dan pasu ini menurut Ayah Pin telah diinspirasikan melalui mimpi salah seorang pengikutnya dan ia membawa maksud “cinta yang dituang dari syurga” dan kesucian air.
Namun begitu, kesemua replika yang dibina ini kemudiannya telah dimusnahkan oleh Pegawai Pejabat Tanah Besut pada Ogos 2005.
4. Ritual dan amalan pelik
Antara amalan pelik Kerajaan Langit ini adalah memastikan bahawa pengunjung yang hadir ke pusat mereka buat kali pertama perlu minum “air suci” yang dituang dari replika gergasi teko dan pasu.
Selain itu, setiap malam Sabtu sehingga pagi Ahad, ritual istimewa akan diadakan di mana mereka akan berkumpul dan bercakap tentang penyembuhan rohani serta mentafsir mimpi. Ayah Pin juga pernah menaiki bot konkrit sambil diiringi oleh pengikutnya dan baring di dalam bot tersebut sambil pengikut-pengikutnya berzikir sehingga jam 4 pagi.
5. Ayah Pin dipenjara
Ekoran ajaran sesat yang dibawanya ini, Ayah Pin akhirnya telah ditangkap oleh pihak berkuasa pada tahun 2001 dan telah dipenjarakan selama 11 bulan dan didenda sebanyak RM2,900.
Mahkamah Syariah telah mendakwa lelaki ini atas kesalahan mempersendakan Islam serta menyebarkan ajaran yang palsu, memesong, merosakkan serta menggugat keamanan awam.
Namun begitu, selepas keluar dari penjara Ayah Pin dan pengikutnya mula memperluaskan lagi ajaran Kerajaan Langit ini sehingga dia terpaksa melarikan diri ke Thailand bersama empat orang isterinya selepas tempatnya diserbu oleh pihak polis.
Pada 23 April 2016 Ayah Pin telah diisytiharkan meninggal dunia di rumah isteri ketiganya di Kampung Batu 13, Hulu Besut.
Dikhabarkan, walaupun Ayah Pin telah meninggal dunia, sehingga hari ini masih ada lagi pengikut-pengikut Kerajaan Langit ini yang meneruskan amalan mereka dan ada juga mendakwa yang mereka sering melihat dan berjumpa dengan jelmaan Ayah Pin.
Hm tachodlah!