Umum mengetahui bahawa anak-anak Ina Naim bersama arwah suaminya yang juga bekas penyanyi kumpulan nasyid In-Team, Allahyarham Suhaimi Saad tidak bersekolah dan hanya menerima pendidikan secara homeschool.
Anak sulung mereka, Ehmad Hadie Elfardie tidak berkecil hati meskipun ramai pihak yang memberikan kecaman dan memandang serong terhadapnya kerana tidak ke sekolah seperti kebanyakan rakan-rakan sebaya yang lain.
Mengulas perkara itu, Hadie yang kini berusia 16 tahun berkata arwah bapanya seorang yang bertanggungjawab dalam memberikan pendidikan penuh buat dirinya dan adik-beradik lain.
Artikel berkaitan: “Anak-anak saya perlu belajar” – Ina Naim Perjelas Kenapa Tidak Boleh ‘Menjanda’ Terlalu Lama
Artikel berkaitan: “Saya sangat tertarik dengan cara arwah Suhaimi ‘homeschool’ anak-anak” – Suami Ina Naim
“Alhamdulilah dengan didikan arwah ayah saya, jadi sekarang ni saya boleh belajar membaca, mengira dan kebanyakan kawan saya memang berikan sokongan untuk homeschooling ni.”
Mengakui sebelum ini ada keinginan untuk pergi ke sekolah, namun baginya pembelajaran di sekolah dan di rumah tidak jauh beza selepas mendengar pengalaman rakan-rakannya.
“Rasa nak pergi sekolah tu memang ada masa kecil tapi nampaklah level pun tak jauh, sama sahaja… tapi tak semualah,” ujarnya.
Menurut Hadie, dia dan adik-beradiknya perlu belajar setiap hari dan hanya pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja berehat. Kongsinya, setiap hari ada matapelajaran yang diajar oleh arwah bapanya.
“Macam saya dulu memang tiap-tiap hari belajar walaupun orang lain cuti raya ke tapi kami tidak, berehat hanya Jumaat serta Sabtu saja… Arwah ayah akan ajar bahasa Arab pada hari Ahad, Isnin pula Bahasa Melayu, Selasa bahasa Inggeris, Rabu belajar Matematik dan Khamis kemahiran hidup,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji kematangan Hadie dalam menjawab soalan dan ini membuktikan arwah benar-benar memberikan pendidikan terbaik buat anak-anaknya.
Terdahulu, suami baharu Ina iaitu Mohd Khairul Rizal Shukor juga tertarik dengan cara arwah Suhami mengajar anak-anaknya di rumah.
Sumber: mStar