Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilaporkan kecoh semalam selepas seorang individu didakwa telah mencetuskan ancaman bom palsu melibatkan sebuah penerbangan domestik di lapangan terbang tersebut.
Individu itu walau bagaimanapun telah ditahan dan diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut, menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Malaysia Airports sebentar tadi.

Malaysia Airports berkata, insiden itu dilaporkan berlaku sekitar jam 5.32 petang (2 Disember 2025), kira-kira sebelum jadual pesawat berkenaan berlepas.
Menurutnya lagi, pasukan Keselamatan Penerbangan kemudian segera mengaktifkan protokol tindak balas yang ditetapkan, mengamankan kawasan terlibat dan menyelaras tindakan bersama pihak berkuasa yang berkaitan.
Ketika proses tersebut berlangsung, kesemua penumpang dalam keadaan selamat dan penerbangan tersebut kemudian berlepas dengan baki penumpang pada jam 7.19 malam.
Pasukan Keselamatan Penerbangan bersama PDRM dan unit pelupusan bom telah melengkapkan penilaian terperinci di lokasi kejadian.
“Pihak berkuasa mengisytiharkan stand down pada jam 8.58 malam dan mengesahkan bahawa keadaan adalah selamat serta insiden tersebut merupakan satu ancaman palsu,” katanya.
Artikel berkaitan: Lelaki Gagal Seludup Kura-kura Ke Vietnam Lepas Ditahan Oleh Pihak Berkuasa Di KLIA
Artikel berkaitan: Siling Terminal 1 KLIA Bocor Akibat Ribut
“Tak pasal-pasal satu kapal kena turun”
Dalam pada itu, kes ini juga telah mendapat perhatian netizen di media sosial dengan seorang individu di Threads mendedahkan situasi kejadian yang berlaku di KLIA.
Menurutnya, seorang individu didakwa telah menulis perkataan ‘bom’ pada salah satu beg yang jelas tertera nama dan nombor telefon individu itu.


Dikongsikan juga video memaparkan kekecohan di lokasi kejadian di mana pihak polis bersama unit pelupusan bom hadir untuk menyiasat kejadian yang berlaku.
Situasi ini menurut perkongsian itu telah mengundang kesusahan kepada semua pihak yang terlibat dan operasi penerbangan juga terpaksa dihentikan gara-gara insiden ini.
Pun begitu, Malaysia Airports dalam kenyataan di atas memaklumkan bahawa operasi lapangan terbang telah kembali seperti sediakala dan pihak mereka juga mengingatkan kepada semua pengembara bahawa ancaman palsu merupakan satu kesalahan serius di bawah undang-undang Malaysia.
Sumber: Malaysia Airports, Threads
