in

“Kita dah jadi orang terkaya” – [VIDEO] Pelarian Gaza Terharu, Terima Kotak Bantuan Dari Malaysia

pelarian gaza terima kotak bantuan malaysia

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Salah seorang pelarian Gaza berasa teruja dan terharu apabila dia menerima sebuah kotak bantuan makanan dari Malaysia.

Menerusi video yang dikongsikan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Instagram, seorang pemuda Gaza yang tinggal di khemah pelarian membawa sebuah kotak berisi makanan yang tertera bendera Malaysia.


Dalam video tersebut, pemuda itu menunjukkan isi kotak bantuan makanan yang mengandungi sekotak kurma, sebotol minyak masak, beberapa tin makanan dan paling teruja apabila mendapat beberapa pek tepung.

“Kita jadi antara orang yang paling kaya,” ucap pemuda itu sambil mencium bungkusan tepung yang diterima.

Jelas MAPIM, isi kotak bantuan itu sebenarnya bernilai hampir AS$300 susulan perang yang sedang melanda.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MAPIM MALAYSIA (@mapimofficial)

Artikel berkaitan: Sempena Hari Kemerdekaan Yang ke-67, Rakyat Gaza Hasilkan Mural Khas Buat Malaysia

12 kontena bantuan MAPIM berjaya memasuki Gaza

Menurut MAPIM, sebanyak 12 kontena misi bantuan yang diketuai pihaknya telah dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah.

Ketua Misi Bantuan Kecemasan 100 Kontena Malaysia ke Gaza, Datuk Sani Araby berkata, fasa pertama berjaya dengan 12 kontena manakala pihaknya sedang mengusahakan fasa kedua dan ketiga untuk mencukupkan sasaran 100 kontena untuk Gaza.

Menurut Sani Araby, pihaknya menyediakan 8 kontena gandum dan 4 kotak berisi kotak barangan asas yang sangat kritikal untuk kegunaan harian.

Difahamkan, semua barangan ini dibeli dan dibungkus oleh sukarelawan MAPIM dan rakan NGO di Mesir, sebelum dihantar melalui laluan darat.

“Walaupun perjalanan ini menghadapi pelbagai ujian, termasuk pintu Rafah G yang sering ditutup dan kawalan ketat rejim, Alhamdulillah, bantuan akhirnya sampai ke tangan mereka yang memerlukan.”

Katanya, bantuan itu adalah gabungan penyumbang daripada JAKIM, Pejabat Menteri Besar Selangor, Yayasan Wakaf Malaysia, Cinta Gaza Malaysia, Yayasan Damai Abadi, MyAqsa Defender, Glokal Ihsan, Iman Care, Fianz New Zealand, Alkhair Foundation UK, Pejabat Menteri Agama dan Pejabat Timbalan Menteri 1 serta Pejabat Perdana Menteri.

Sumber: Instagram, Astro Awani

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.