Isnin lepas, kakak Teoh Beng Hock, Teoh Lee Lan telah mengadakan satu protes aman yang dipanggil sebagai ‘Walk of Justice’ di mana satu kumpulan yang dipimpin oleh Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokratik telah berjalan ke Parlimen. Mereka rancang untuk menyerahkan satu memorandum kepada perdana menteri sebelum dihalang oleh pegawai polis yang telah membuat halangan di hadapan pintu pagar Parlimen.
Ekoran ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan yang dia akan bertemu dengan keluarga mendiang Teoh Beng Hock pada minggu ini. Namun, Anwar semalam telah menangguhkan pertemuan tersebut kepada minggu hadapan kerana sibuk dengan persiapan pertabalan Agong yang akan diadakan pada hari Sabtu ini.
Siapa Teoh Beng Hock ni?
Pada 16 Julai 2009, mayat seorang bekas Setiausaha Politik Exco Selangor daripada DAP telah ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat 14 bangunan pejabat SPRM. Kematian Teoh Beng Hock ini telah menjadi misteri sehingga ke hari ini dan merupakan salah satu kes jenayah terbesar dalam sejarah Malaysia yang masih tak diselesaikan sehingga ke hari ini.
Artikel berkaitan: Bapa Nurin Jazlin Mahu Kes Anak Dibuka Semula
Artikel berkaitan: Anak Menteri Besar Direman SPRM, Bantu Siasatan Pemalsuan Dokumen RM600K
Kematian Teoh Beng Hock
Sehari sebelum mayat Teoh Beng Hock ditemui terjatuh dari tingkat 14 bangunan SPRM yang terletak di Plaza Masalam, Shah Alam, pegawai SPRM telah menyerbu pejabat Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah dan pembantunya, seorang lelaki muda bernama Teoh Beng Hock yang telah diminta untuk pergi ke pejabat SPRM untuk disoal siasat.
Pada hari yang sama, empat ADUN Selangor dilaporkan turut disiasat pada masa yang sama dan kesemua dari mereka adalah dari gabungan parti Pakatan Rakyat. Rakaman CCTV menunjukkan Beng Hock telah masuk ke bangunan SPRM pada jam 6.08 petang.
Kemudian, pada jam 1 tengahari keesokan harinya, mayat Beng Hock telah ditemui di bumbung tingkap lima Plaza Masalam dan dia telah disahkan terjatuh dari tingkap pejabat SPRM di tingkat 14.
Hanya beberapa jam selepas penemuan tersebut barulah keluarga Beng Hock diberitahu mengenai kejadian tersebut. Lee Lan telah tiba di kawasan tersebut bersama abangnya Beng Kee dan tunang Beng Hock, Cher Wei pada petang kejadian.
Pihak polis yang sedang mengelilingi mayat Beng Hock hanya membenarkan salah seorang dari keluarga ini untuk mengecami mayat tersebut. Beng Kee telah pergi untuk membuat pengecaman dan kembali ke pangkuan keluarganya untuk memberitahu berita sedih tersebut.
Ketika matahari mula terbenam, beberapa orang mula berkumpul di bawah bangunan tersebut sambil memasang lilin dan melakukan protes senyap. Keesokan paginya, orang yang berkumpul di sana menjadi semakin ramai dan turut disertai oleh orang besar politik seperti Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.
Menurut salah seorang pembantu politik di pejabat Menteri Besar Selangor pada ketika itu, Tricia Yeoh mengatakan bahawa ini kematian ini dilabelkan sebagai kematian politik pertama di Malaysia. Sebelum ini sentiasa ada kes tentang kematian di dalam tahanan, tapi ini merupakan kali pertama ia dikaitkan dengan siasatan yang sedang berlangsung.
Keadilan untuk Teoh Beng Hock
Pada 5 Ogos 2009, satu inkues telah dibuka untuk mengenalpasti punca kematian Teoh Beng Hock yang diketuai oleh koronel Azmil Muntapha Abas. Ini kerana terdapat dua teori mengenai kematian ini, sama ada bunuh diri atau dibunuh.
Ketika inkues ini, ada beberapa maklumat penting yang didapati iaitu, dua ahli patologi bersetuju bahawa Beng Hock telah mengalami beberapa kecederaan sebelum kejatuhan tersebut iaitu di bahagian depan kiri lehernya.
Seorang saksi kemudiannya memberi keterangan bahawa dia telah menjadi mangsa teknik soal siasat yang agresif semasa ditahan oleh pegawai SPRM.
Kemudian, satu nota didakwa telah ditulis oleh Beng Hock tiba-tiba muncul di pengakhiran inkues ini di mana peguam yang mewakili SPRM menunjukkan nota tersebut sebagai “nota bunuh diri”.
Di akhir inkues tersebut pada 5 Januari 2011, koroner telah membuat keputusan terbuka, bermakna dia tak berjaya mendapatkan sebab sebenar punca kematian Beng Hock hingga menyebabkan bantahan orang ramai. Keluarga Beng Hock dan penyokongnya meminta agar kes ini disemak semula oleh Mahkamah Tinggi dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Perdana Menteri Najib Razak kemudiannya mengumumkan pada 26 Januari 2011 bahawa RCI akan ditubuhkan untuk menyiasat kematian Beng Hock. Namun beberapa munggu kemudian, kerajaan Selangor dan keluarga Beng Hock mahu menarik diri dari RCI ekoran tak berpuas hati dengan cara ia dijalankan.
Pada 21 Julai 2011, RCI membuat kesimpulan bahawa kematian Beng Hock adalah disebabkan bunuh diri ekoran soal siasat agresif yang dibuat oleh pegawai SPRM. Ia juga turut menamakan tiga pegawai yang mempunyai peranan dalam kematian ini iaitu, Hishamuddin Hashim dan dua pegawai bawahannya Mohamad Anuar Ismail and Ashraf Mohd Yunus.
Tapi, pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan inkues tersebut dan mengatakan bahawa kematian Beng Hock berpunca dari beberapa kecederaan yang dibuat oleh orang-orang yang tidak diketahui termasuk pegawai-pegawai SPRM. Keputusan ini juga turut meminta agar pihak polis membuka siasatan semula.
Pada 12 Mei 2015, SPRM telah bersetuju untuk menyelesaikan kes saman sivil yang difailkan oleh keluarga Beng Hock di luar mahkamah atas tuduhan kecuaian sehingga menyebabkan kematian. SPRM mahu membayar sebanyak RM600,000 ganti rugi termasuk menanggung kos saman sebanyak RM60,000.
Kemudian, pada 19 Mei 2016, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagia undang-undang, Nancy Shukri mengatakan bahawa siasatan semula pihak polis di bawah bidang kuasa Peguam Negara menemui, tiada jenayah yang dilakukan oleh pegawai SPRM terhadap kematian Teoh Beng Hock.
Ketika Tun Dr Mahathir dilantik semula untuk menjadi perdana menteri, siasatan ke atas kematian Beng Hock dikatakan akan dibuat semula.
Namun sehingga ke hari ini, 15 tahun kemudian, keluarga Beng Hock masih mencari keadilan untuk lelaki itu kerana sampai sekarang, tak ada orang yang telah ditangkap atau dipertanggungjawabkan atas kematian Teoh Beng Hock.