Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah mengeluarkan kenyataan berkenaan isu penarikan balik produk kicap soya manis dan sambal sos ayam goreng berjenama ABC dari pasaran Singapura yang didakwa mempunyai bahan allergen iaitu sulfur dioksida yang tidak diistiharkan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Noor Hisham Abdullah tersebut menjelaskan bahawa sulfur dioksida diklasifikasikan sebagai bahan pengawet yang dibenarkan dalam makanan tertentu dan pada paras tertentu.
Walaupun ianya tidak berbahaya kepada manusia sekiranya digunakan dalam kepekatan yang dibenarnya, difahamkan ia boleh menyebabkan kesan alergik kepada sesetengah individu yang menghidap lelah ataupun asma apabila mereka terhidu atau tertelan.
KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
ISU PENARIKAN SEMULA PRODUK KICAP SOYA MANIS DAN SAMBAL SOS AYAM GORENG BERJENAMA ABC DARI PASARAN SINGAPURA YANG MENGANDUNGI BAHAN ALERGEN YANG TIDAK DIISYTIHARKAN pic.twitter.com/pQc42UUltU
— KKMalaysia??? (@KKMPutrajaya) September 12, 2022
Tambahnya lagi, kandungan sulfur dioksida melebihi 10mg/kg perlu diisytiharkan atau dilabelkan dan melalui semakan KKM ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) turut mengesahkan bahawa produk kicap soya manis serta sambal ayam goreng jenama ABC tersebut turut diimport ke negara ini.
Namun, sejak Jun 2021 lagi, arahan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) telah dikenakan ke atas produk kicap soya manis berkenaan di semua pintu masuk negara. Sekiranya tidak mematuhi keperluan pelabelan, produk ini akan diarahkan untuk dihantar semula ke negara asal atau arahan pelabelan semula dikeluarkan.
Pemantauan di pintu masuk negara bermula Jun 2021 sehingga kini mendapati tiada sampel produk kicap soya termasuklah kicap soya ABC dikesan mengandungi sulfur dioksida.
Menurut Tan Sri Noor Hisham, KKM sentiasa prihatin dan peka terhadap perkara yang mampu mengancam kesihatan pengguna. Justeru, sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat, mahupun kemusykilan berhubung isu ini mahupun isu-isu keselamatan makanan yang lain, pengguna diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.
Dalam masa yang sama, pengguna juga boleh menyalurkan maklumat ke laman web http://moh.spab.gov.my atau laman rasmi Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan iaitu www.facebook.com/bkkmhq.
Baca : “Lebih 100 kematian di US” – Public Health Malaysia Tak Galakkan Makan Oyster Mentah Sebab…